Isu Panas

Umno yakin tawan Kelantan PRU14

KOTA BHARU – BN yakin dapat merampas Kelantan daripada Pas pada PRU14 sekali gus menebus maruah kekalahan parti itu pada 1990.

Keyakinan tersebut disuarakan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dengan mengambil kira faktor ketiadaan bekas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, kekecohan dalam Pas dengan kewujudan Parti Amanah Negara (Amanah).

Mustapa berkata, resolusi utama konvensyen kali ini ialah kesemua perwakilan berpendapat dalam situasi terkini ia merupakan peluang terbaik untuk Umno memenangi pilihan raya di Kelantan dan mendirikan sebuah kerajaan.

“Dalam tempoh 25 tahun sebelum ini dengan adanya Nik Aziz sebagai seorang pemimpin Pas yang mana dapat menyatupadukan pimpinan dan ahli ia merupakan penyatuan yang cukup mantap, namun sebaliknya yang berlaku kini.

“Hari ini kita dapati ada ahli Pas yang ingin bersama DAP, ada mahu mengekalkan perjuangan asal untuk memperjuangkan Islam. Maka kita merasakan inilah masa paling sesuai dan terbaik untuk Umno Kelantan mengembalikan maruahnya dan mendirikan kerajaan di Kelantan,” katanya kepada media semalam.

Terdahulu beliau menyempurnakan penutup Konvensyen Umno Kelantan yang melibatkan 2,000 perwakilan di seluruh negeri.

Mustapa juga mengakui, isu-isu nasional yang wujud sejak akhir-akhir ini termasuk 1Malaysian Development Berhad (1MDB), turut mempengaruhi suasana politik di Kelantan.

Bagaimanapun, tindakan dan inisiatif yang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama kepimpinan negara dalam berdepan dengan isu berkaitan menampakkan hasilnya.

“Awal tahun depan kita yakin ia dapat ditangani. Perpaduan Umno Kelantan dengan semangat tingi dan perpecahan Pas dan wujudnya Amanah, selain selesainya beberapa isu di peringkat nasional ini memberi harapan lebih baik di Kelantan,” katanya.

Mustapa juga mengingatkan kepada semua barisan kepimpinan jentera untuk tidak mensia-siakan peluang yang ada dalam masa dua tahun ini bagi memantapkan parti di Kelantan.

“Saya dapati ahli Umno di Kelantan telah siap sedia untuk berjuang. Perpaduan barisan kepimpinan parti juga kuat,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai konvensyen dua hari berakhir semalam, beliau juga menyambut baik terhadap sokongan dan idea mahupun teguran daripada semua peringkat.

“Yang pentingnya pelan tindakan daripada hasil ucapan semasa konvensyen daripada semua pihak termasuk Himsak, Pemuda, Wanita, Puteri, Veteran Umno dan NGO perlu diambil diperhalusi yang mana berguna akan dilaksanakan Umno Kelantan,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");