Sukan Hari Ini

Barca terlepas peluang

Barcelona: Barcelona mensia-siakan kelebihan dua gol yang dihasilkan Lionel Messi dan Ivan Rakitic apabila melepaskan gol penyamaan sepanjang 13 minit terakhir ketika diikat 2-2 oleh Deportivo la Coruna, awal pagi semalam.

Walaupun bermain tanpa Neymar, juara Eropah itu kelihatan tidak bermasalah untuk bangkit daripada keputusan seri 1-1 di Valencia minggu lalu apabila menjaringkan gol menerusi Messi dan Rakitic.

Begitupun, Lucas Perez menjaringkan gol untuk membolehkan Deportivo bernafas di Nou Camp sebelum dia membuat hantaran yang disempurnakan Alex Bergantinos untuk mengikat kedudukan ketika permainan berbaki empat minit.

Barca kini hanya mendahului Atletico Madrid di puncak La Liga dengan kelebihan tiga mata tetapi skuad kendalian Diego Simeone itu mampu berkongsi pendahuluan jika menang ke atas Athletic Bilbao awal pagi tadi.

Ketika Barcelona tidak bermain minggu depan kerana terbabit dengan kejohanan Piala Kelab Dunia, mereka mungkin ketinggalan di tempat ketiga sebelum hujung bulan ini.

“Ia agak memalukan. Kami hilang kawalan ketika kami wajar mengawal perlawanan dan kami memudahkan mereka untuk menguasai permainan ketika mendahului 2-0,” kata kapten Barca Andres Iniesta.

“Perkara sebegini biasa berlaku dalam bola sepak. Kami perlu membuat analisis bagi memastikan ia tidak berulang. Dalam tempoh dua minggu, kami hilang empat mata yang sepatutnya membuatkan kami lebih selesa.”

Sementara itu pada perlawanan lain, Celta Vigo mengukuhkan kedudukan di tangga keempat walaupun bermain dengan 10 orang sepanjang lebih 40 minit dan bekas penyerang Liverpool Iago Aspas memberikan kemenangan 1-0 ketika bertemu Espanyol.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");