Sukan Hari Ini

Cabaran musim baru

Abu Dhabi: Kejayaan Nico Rosberg pada perlumbaan penutup musim Grand Prix Abu Dhabi hujung minggu lalu mungkin tidak akan melayakkannya untuk bergelar pilihan berbanding rakan sepasukannya di Mercedes, Lewis Hamilton tetapi pencapaiannya itu pasti membuatkan juara dunia tiga kali itu berfikir lebih panjang mengenai cabaran yang akan dihadapinya tahun depan.

Selepas melakar tiga kemenangan berturut-turut, pemandu Jerman berusia 30 tahun itu kembali meningkatkan keyakinan pasukan terhadapnya manakala Hamilton yang muncul juara dunia buat kali kedua berturut-turut di bawah naungan Mercedes, kelihatan sukar mengekang kebangkitan rakan sepasukannya itu.

Namun ketika Formula Satu berehat dan mengatur kembali pasukan masing-masing, arena perlumbaan turut berdepan cabaran besar apabila beberapa pasukan bergelut untuk menampung perbelanjaan besar yang perlu disediakan sekali gus menimbulkan persoalan sebanyak manakah pasukan yang sedia untuk beraksi tahun depan.

Juara dunia dua kali, Fernando Alonso pernah meluahkan rasa bimbangnya mengenai kemampuan Persekutuan Permotoran Antarabangsa (FIA) untuk memastikan Formula Satu terus hidup sambil menjadikan pasukannya McLaren-Honda sebagai contoh terbaik.

“Ia masalah yang perlu ditangani FIA,” kata Alonso. “Musim ini, anda lihat sebahagian tempat duduk utama kosong dan ia berlaku di sebahagian besar litar. Ada juga kejuaraan lain seperti WEC, MotoGP yang semakin menghambat. Saya rasa anda perlu mencari jalan bagaimana untuk menarik semula peminat.”

Ditambah masalah kewangan, politik dan teknikal, musim yang berakhir Ahad lalu memberi petanda masa depan arena Formula Satu masih ada. Awal minggu lalu, bekas Presiden FIA Max Mosley berkata, Formula Satu sedang berdepan masalah besar dan tiada sesiapa yang mahu membeli kepentingan dalam perniagaan itu kerana ia sudah semakin mahal.

“Hanya ada dua atau tiga pasukan yang benar-benar mampu membelanjakan wang seperti sekarang ini,” kata Mosley.

“Manakala yang lainnya pula sedang berfikir untuk berhenti atau mengambil kesempatan berikutan ketiadaan wang yang cukup. Saya tidak nampak ada sesiapa yang mahu membeli kepentingan dalam Formula Satu hinggalah masalah berkaitan dapat diatasi.

“Pasukan kaya enggan bersaing dengan pasukan kurang mewah.”-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");