Sukan Hari Ini

Firdaus minta tempoh 4 bulan

KUALA LUMPUR – “Berikan saya tempoh selama empat bulan untuk membuktikan saya masih lagi salah seorang pelumba basikal trek terbaik negara.”

Demikian matlamat yang di­sasarkan oleh pelumba berbasikal trek berbakat besar Muhammad Firdaus Mohd. Zonis dalam usaha mendapatkan kembali prestasi terbaiknya selepas berehat tujuh bulan gara-gara mengalami kecederaan belakang.

Selepas lama mendiamkan diri, pelumba berusia 19 tahun itu jelas agak berkarat ketika menyertai kejohanan Lumba Basikal Trek Kebangsaan Sirkit 1 2015 di Velodrom Kuala Lumpur, yang me­nyaksikan dia gagal menamatkan perlumbaan acara scrath.

Sekali pun dalam proses menyesuaikan diri, namun Muhammad Firdaus tetap yakin kemampuannya akan kembali ke landasan asal setelah menjalani latihan intensif selama empat bulan.

“Saya sebenarnya sudah menjangkakan keputusan sebegini, sebab stamina saya turun mendadak selepas rehat selama tujuh bulan. Tetapi saya masih lagi menguasai teknik dan kemahiran kayuhan seperti sebelum ini (sebelum mengalami kecederaan).

“Saya kena fokus dan terus berlatih untuk mengembalikan keyakinan diri saya semula seterusnya mencapai prestasi terbaik,” katanya ketika ditemui pada kejohanan tersebut.

Pelumba kelahiran Selangor itu pernah dilabel sebagai pengganti jaguh trek negara Azizulhasni Awang untuk menggalas cabaran negara di pentas antarabangsa selepas kejayaan berterusan diraih di peringkat remaja.

Muhammad Firdaus cemerlang apabila meraih kejayaan treble selama dua tahun berturut-turut untuk acara ujian masa 1 kilometer, pecut dan keirin dalam Kejuaraan Remaja Asia di New Delhi 2013 dan Kazakhstan 2014.

Namun, perkembangan kariernya terencat dan hampir musnah apabila mengalami kecede­raan ketika menjalani latihan bersama ketua jurulatih negara John Beasly pada Mei lalu.

– utusan

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");