Berita Hari Ini

Guru IPG selesai masalah kekurangan guru di SJKC

KUALA LUMPUR – Kekurangan guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dijangka akan diselesaikan apabila 867 guru yang dilatih di Institusi Pendidikan Guru (IPG) seluruh negara ditempatkan di sekolah-sekolah tersebut.

Timbalan Menteri Pendidikan P Kamalanathan berkata pada masa ini, kesemua guru tersebut sedang mengikuti opsyen Bahasa Cina dengan 575 daripada mereka akan menamatkan pengajian pada bulan ini.

“Mereka yang akan tamat pengajian ini boleh ditempatkan di sekolah bagi menampung kekurangan guru di SJKC pada tahun 2016. Penempatan ini juga akan mengambil kira pekeliling-pekeliling penempatan guru yang sedang berkuatkuasa,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Wong Ling Biu (DAP-Sarikei) yang ingin tahu sama ada terdapat kekurangan guru-guru beropsyen pengajian Cina di SJKC dan tindakan kementerian menangani masalah itu.

Kamalanathan berkata kementerian juga telah mewujudkan pasukan petugas (task force) untuk meneliti perjawatan dan pengisian guru secara menyeluruh bagi menangani isu kekurangan guru di SJKC.

Katanya, pasukan itu telah memutuskan sejumlah 374 kuota pelantikan Guru Interim Tambahan telah diluluskan berkuatkuasa mulai 2 Mei lalu.

“(Selain itu) pelajar-pelajar tahun akhir di IPG ditempatkan secara internship di semua sekolah termasuk SJKC berkuatkuasa 27 September lalu sehingga tamat sesi persekolahan pada 19 November lepas,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");