Sukan Hari Ini

Impian Wee Wern tersekat

Kuala Lumpur: Pemenang pingat emas acara berpasukan Sukan Asia Incheon, Low Wee Wern (kiri) gagal mengikut jejak langkah ratu skuasy negara Datuk Nicol David mara ke suku akhir apabila tewas pada pusingan kedua Terbuka Hong Kong semalam.

Wee Wern dilihat bergelut mencari rentak apabila kecederaan lutut kiri masih membelenggunya hingga mengehadkan pergerakannya dan terpaksa menarik diri daripada meneruskan perjuangan ketika turun beraksi menentang pilihan pertama dari Mesir Raneem El Welily.

Memberi tentangan pada set pertama sebelum tewas 9-11 dan 3-11 di set kedua, Wee Wern mengambil keputusan untuk tidak meneruskan permainan pada set ketiga.

“Bermain menentang Raneem dengan dua kaki adalah satu cabaran tapi dengan hanya sebelah kaki memang mustahil,” kata Wee Wern yang hanya dapat beraksi 14 minit sebelum menyerah kalah.

Sementara itu, Nicol tidak berdepan masalah untuk mara ke suku akhir selepas mudah melepasi halangan rakan senegara Delia Arnold pada pusingan kedua.

Nicol hanya memerlukan 20 minit membenam Delia 11-1, 11-4, 11-3 pada kejohanan yang menawarkan AS$95,000 (RM400,000).

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu dilihat berada pada landasan terbaik untuk bukan saja mengekalkan kejuaraan tetapi menjulang trofi buat kali kesembilan berturut-turut selepas mendominasi kejohanan itu sejak 2012.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");