Sukan Hari Ini

Kuala Kedah mai…

Alor Setar: Penyokong Pasukan Hijau Kuning Kuala Kedah tidak sabar membawa kain rentang gergasi berukuran 28 meter yang dibuat khas untuk digantung di Stadium Shah Alam ketika perlawanan akhir Piala Malaysia 2015 antara Kedah dan Selangor, Sabtu ini.

Ketuanya Syahril Anuar Alias, 32, berkata kain rentang bertulis ‘Penyokong Kuala Kedah’ itu direka khas selepas skuad Helang Merah bertemu Pahang pada separuh akhir Piala Malaysia musim lalu, namun diperbaiki semula supaya kelihatan lebih kemas.

Katanya, kain rentang gergasi itu akan dibawa ketika konvoi tiga bas ahli Penyokong Pasukan Hijau Kuning Kuala Kedah yang bertolak pada pagi hari perlawanan nanti.

“Kami membawa semula semangat tahun lalu ke tahun ini dan berazam menggantungkan kain rentang gergasi ini di Stadium Shah Alam sebagai pembakar semangat pemain.

“Kain rentang gergasi ini turut dihiasi dengan kepala dua burung helang di sebelah kiri dan kanan untuk menaikkan seri selain sebagai simbol kepada Helang Merah.

“Ini penghormatan besar kami dan semua ini dilakukan atas inisiatif ahli Penyokong Pasukan Hijau Kuning Kuala Kedah tanpa memohon sumbangan mana-mana pihak,” katanya ketika ditemui di Pekan Kuala Kedah, di sini, semalam.

Syahril berkata, proses membuat kain rentang itu memakan masa seminggu untuk disiapkan bermula dengan membeli kain, menjahit dan mengecat.

Katanya, kain rentang itu sudah dibawa memasuki beberapa stadium di seluruh negara sebanyak lebih 10 kali bagi menaikkan semangat pemain pasukan Kedah sejak musim lalu.

“Apa yang dilakukan ini ikhlas semata-mata mahu melihat pasukan kami (Kedah) berjaya. Alhamdulillah impian itu tercapai berkat doa semua penyokong Helang Merah selain kerja keras pemain.

“Justeru, kita berkumpul hari ini (semalam) untuk bergotong-royong mengecat semula kain rentang kerana warnanya agak lusuh dan berharap ia menjadi perhatian penonton kedua-dua belah pihak yang datang ke Stadium Shah Alam nanti,” katanya.

Katanya, beliau berharap semua penyokong Kedah dapat memberi sokongan padu kepada pemain untuk menaikkan semangat mereka, sekali gus mengalahkan Selangor.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");