Sukan Hari Ini

LVG enggan mengalah

MANCHESTER – Louis van Gaal (LVG) berikrar untuk mempertahankan kedudukan sebagai pengurus Manchester United, biarpun berdepan tekanan daripada penyokong The Red Devils yang mahu dia dipecat, terutama selepas pasukan itu seri 0-0 dengan Chelsea, semalam.

Keinginan peminat United untuk melihat Jose Mourinho menggantikan Van Gaal semakin meningkat apabila skarf yang memaparkan wajah Mourinho dengan logo United dijual di luar Old Trafford sebelum perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Chelsea.

Van Gaal, 64, yang gagal mencatat kemenangan dalam lapan perlawanan berturut-turut menafikan, dia akan berundur sebelum dipecat seperti yang dilaporkan media Bri­tain selepas pasukannya tewas 2-0 kepada Stoke City, Sabtu lalu.

Walaupun ada peningkatan ditunjukkan United ketika berdepan juara bertahan, Chelsea, namun kebuntuan untuk mencari gol di laman sendiri meningkatkan lagi tekanan Van Gaal, apatah lagi pasukannya kini terkeluar daripada kelompok empat terbaik dengan menduduki tangga keenam liga.

“Tiada krisis dalam pasukan. Krisis sebenar adalah persekitaran (di sekeliling kelab). Di dalam kelab, baik pemain, pengurus serta staf sedia untuk berjuang, manakala ahli lembaga pula yakin dengan staf serta pengurus mereka,” kata jurulatih itu.

Dalam aksi semalam, United bagaikan menemui semangat baharu di awal permainan apabila percubaan Juan Mata dan Anthony Martial terkena palang gol.

Ander Herrera dan Wayne Roo­ney juga hampir menjaringkan gol, sementara Willian hampir memberi penalti ekoran bola terkena tangan, tetapi Chelsea juga memiliki peluang terbaik menerusi John Terry, Pedro Rodriguez, Cesar Azpilicueta dan Nemanja Matic, namun berjaya dinafikan David de Gea.

Sementara itu, kehadiran peniaga jalanan menjual skarf Mourinho di luar Old Trafford menunjukkan betapa peminat begitu optimis jurulatih yang terkenal dengan jolokan ‘The Special One’ itu bakal menggantikan Van Gaal.
Skarf berwarna merah tersebut jelas bukan produk rasmi kelab, tetapi penyokong tuan rumah tetap membelinya sebelum sepak mula.

Peniaga tersebut menjual skarf dengan harga 10 pound (RM63), sambil menjerit: “Selamat datang ke Old Trafford, Mourinho!”

Malah, penjualan skarf tersebut turut mencuri perhatian legenda The Red Devils, Paul Scholes. Bekas pemain tengah itu memuat naik kenyataannya menerusi Twitter berhubung penjualan skarf tersebut.

Paul Scholes berkata: “Saya tidak pasti apa yang badut itu sedang lakukan.” #MUFC”

Segelintir penyokong juga dilihat memakai skarf berkenaan, sementara kain rentang yang menya­takan sudah tiba masa Mourinho menggantikan Van Gaal turut kelihatan di dalam stadium. – AGENSI/utusan

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");