Jenayah

Padah tinggal wang dalam kereta

KUALA PILAH: Akibat meninggalkan wang tunai dalam sebuah kereta, seorang ahli perniagaan berputih mata apabila mengalami kerugian bernilai RM37,000 setelah keretanya dipercayai dipecahkan oleh tiga individu yang tidak dikenali, pagi semalam.

Ketua Polis Kuala Pilah Superintendan Luqman Abd Rahman berkata, mangsa berusia 50 tahun dikatakan baharu mengeluarkan wang berjumlah RM85,000 di salah sebuah bank di Jalan Perpatih di pekan Kuala Pilah jam 10.30 pagi.

“Sebaik wang dikeluarkan, mangsa terus beredar menaiki sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton untuk memasukkan wang ke sebuah bank lain di Bukit Pilah Perdana.

“Mangsa telah mengasingkan wang sebanyak RM48,000 untuk dimasukkan ke bank tersebut jam 11.40 pagi manakala bakinya sebanyak RM37,000 ditinggalkan di bawah tempat duduk sebelah pemandu,” katanya.

Kata beliau, ketika melakukan urusan di bank, mangsa terdengar bunyi cermin keretanya dipecah dan pada masa sama penggera keselamatan kereta berbunyi.

“Mangsa panik, berlari keluar dan mendapati cermin keretanya telah pecah dan ketika itu ternampak sebuah Proton Exora berwarna hitam dinaiki tiga lelaki beredar dengan memecut laju ke arah Jalan Bukit Seremban Lama.

“Mangsa kemudiannya periksa dan mendapati bungkusan wang yang disimpan di bawah tempat duduk sebelah pemandu telah lesap,” katanya.

Mangsa kemudiannya terus membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Jalan Melang.

Kata Luqman, hasil siasatan awal mendapati mangsa telah menyedari diekori Proton Exora berwarna hitam ketika berada di bank pertama lagi.

“Bagaimanapun, mangsa tidak mengendahkan lalu terus pergi ke bank seterusnya.

“Namun malang tidak berbau.. apa-apa boleh berlaku jika kita cuai. Siasatan juga mendapati suspek menggunakan objek keras untuk memecah cermin sebelah pemandu,” katanya.

Sehubungan itu, Luqman menasihatkan orang awam sekiranya menyedari diekori, terus menuju ke balai polis berhampiran.

“Jika ingin mengeluarkan wang dalam jumlah yang banyak, mohon bantuan anggota polis untuk mengiringi agar keselamatan terpelihara,” katanya.

Jelas Luqman, sindiket itu dipercayai bergerak secara berkumpulan dan polis turut melakukan sekatan di jalan utama namun masih belum berjaya menangkap suspek.

“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dengan membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya dan jika ia kesalahan kedua, boleh dihukum sebat,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");