Isu Panas

Pas Pahang anggap Hadi ingin beri nasihat kepada PM

ROMPIN – Pas Pahang menyangkal sebarang persepsi atau spekulasi di media sosial berkaitan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Majlis Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar 2015, kelmarin.

Ketua Penerangannya, Nazri Ahmad berkata, sejak awal Tuan Guru Abdul Hadi telah menzahirkan pendiriannya mempamerkan kematangan berpolitik dengan memanfaatkan keluasan ruang lingkup dakwah Islam itu sendiri.

Menurutnya, tindakan menghadiri majlis berkenaan juga merupakan satu pilihan untuk menyampaikan teguran dan nasihat kepada pemimpin negara selain satu bentuk penghormatan penganjur kepada beliau serta Pas secara amnya.

“Pada saya pelbagai persepsi dan spekulasi negatif yang wujud di media sosial ini disebabkan kedangkalan pihak tertentu untuk memahami pengertian dakwah Islam itu sendiri yang begitu luas.

“Apabila tidak tahu maka ia dijadikan isu picisan seperti ini. Pada hal jika dilihat dari sudut lain, penganjur yang juga merupakan sebuah NGO menjemput Perdana Menteri untuk menyampaikan ucapannya dalam masa sama turut menjemput Tuan Guru Abdul Hadi yang pada saya itu merupakan satu penghormatan kepada dirinya serta Pas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kehadiran dua pemimpin utama parti yang mewakili golongan Melayu dan Islam iaitu Umno dan Pas di satu pentas yang sama dengan pakaian sedondon di Majlis Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar 2015.

Tindakan kedua-dua pemimpin itu mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial yang mengaitkan persepsi dan spekulasi terhadap Umno dan Pas yang sebelum ini wujud isu berkaitan gabungan kerjasama.

Dalam pada itu, tegasnya konsep dakwah dalam Islam ialah dengan mendekati sasaran untuk menyampaikan dakwah itu dan antara yang menjadi sasaran dakwah parti Islam itu kini ialah kerajaan.

“Dalam satu hadis, Rasulullah SAW ada menyebut agama itu nasihat, lalu sahabat bertanya kembali untuk siapa nasihat itu dan antara jawapan Baginda berikan ialah pemimpin umat Islam.

“Manakala dalam hadis lain pula Baginda juga ada menyebut semulia-mulia jihad ialah bercakap benar di hadapan pemimpin zalim. Maksud bagi ‘bercakap benar’ itu ialah menegur atau menasihati pemimpin tersebut,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");