Panasnya Hari Ini

PAU 2015: Hak Bersuara Disekat, Demokrasi Akan Terkubur Dalam UMNO – Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap agar semua pimpinan parti dan perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2015 tidak lari daripada membincangkan masalah yang dihadapi oleh parti.

Katanya, perhimpunan yang akan bermula pada Khamis ini perlu digunakan untuk membincangkan isu-isu penting yang sedang melanda UMNO kebelakangan ini.

“Saya diberitahu mungkin isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak akan disentuh. Mungkin juga isu derma RM2.6 bilion tidak akan disebut. Saya harap khabar yang saya dengar ini tidak benar. Janganlah buat begitu.

“Berilah ruang secukupnya untuk pemimpin dan ahli akar umbi bersuara mengenai isu-isu penting yang berkait dengan parti kita. Kalau ruang untuk berbicara bagi mengungkapkan apa yang terbuku di fikirdan dan kalbu mereka sudah tertutup, ini akan menimbulkan masalah yang lebih besar,” katanya menerusi teks ucapan penuh yang dimuatnaik di laman Facebook miliknya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di dalam satu majlis khas yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, malam tadi.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal.

Katanya lagi, sekiranya ahli yang hadir disekat daripada bersuara ketika PAU, mereka tidak akan mempunyai tempat lagi untuk menyuarakan pandangan kepada pucuk pimpinan.

“Apakah sudah tiada demokrasi di dalam UMNO? Apakah sindrom bisu telah menguasai UMNO? Apakah demokrasi dalam UMNO hanya untuk menyokong pemimpin tertentu? Jika menegur pemimpin, maka itu dilihat sebagai melanggar perlembagaan? Sejak bila pula pemimpin UMNO kebal daripada kritikan.

“Antara hak yang pertama sekali disenaraikan dibawah Fasal 6.2 Perlembagaan UMNO mengenai hak ahli ialah hak untuk ‘bercakap dan mengemukakan pendapat-pendapat dan mengundi di dalam mesyuarat-mesyuarat parti’. Jadi, apakah hak pihak tertentu di dalam parti untuk menafikan hak seorang ahli daripada menyuarakan pandangan masing-masing?”soalnya.

Tambah Muhyiddin lagi, beliau tidak bercakap untuk mewakili dirinya, sebaliknya bersuara bagi institusi Timbalan Presiden parti yang perlu dihormati.

“Kalau kita boleh hormat kepada institusi Presiden, mengapa kita tidak boleh hormat kepada institusi Timbalan Presiden?

“Bayangkanlah, jika institusi nombor dua parti pun tidak boleh bersuara, apa lagi hak yang ada pada ahli-ahli di akar umbi. Saya bimbang lama kelamaan, demokrasi akan terkubur di dalam UMNO,”ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");