Jenayah

Pecah rumah hampir setiap minggu

GEMAS: Penduduk di Felda Jelai 3 di sini, bimbang apabila sejak Julai lalu, hampir setiap minggu kediaman di penempatan berkenaan dipecah masuk dan disamun.

Dalam kejadian terbaru Ahad lalu, kediaman Pegawai Seranta (Felda) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Roslan Rahmat, 59, dipecah masuk dan dua buah komputer riba, mutiara Sabah serta wang tunai sebanyak RM600 dilarikan penjenayah.

Menurut Roslan, ketika kejadian, mereka sekeluarga tiada di rumah kerana pulang ke kampung di Melaka dan ianya hanya disedari anaknya, Mohd Alfian Roslan, 33, ketika pulang ke rumah pada jam 10 pagi serta mendapati rumah berselerak.

“Di blok saya ada 24 buah rumah yang mana empat daripadanya telah dipecah masuk. Kami bimbang dan dah tak tahan lagi bila hampir setiap bulan bahkan setiap minggu ada saja rumah yang dimasuki penjenayah.

“Malah, ada penduduk yang tak lagi buat laporan polis susulan rumah mereka dipecah masuk,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Blok 14, Felda Jelai 3 di sini, semalam.

Kata Roslan, dia mengesyaki penjenayah masuk melalui pintu di belakang dan melarikan diri melalui pintu sliding di tepi belakang rumah.

“Saya harap sangat agar pihak bertanggungjawab dapat ambil tindakan dengan meningkatkan rondaan atau tambah anggota polis di Pondok Polis Jelai ini.

“Dengan hanya kekuatan dua orang anggota polis sahaja tidak lagi sesuai untuk memantau kira-kira 25,850 penduduk di Felda Gugusan Jelai ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Tampin, Superintenden Wooi Kooi Cheang mengesahkan kejadian berkenaan dan menyatakan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Menurut beliau, dari semasa ke semasa, pihaknya meningkatkan rondaan di kawasan berkenaan yang turut dibantu oleh anggota dari Balai Polis Gemas.

“Sebelum ini kita sudah berjaya menangkap suspek dan didakwa di mahkamah. Bagaimanapun, kita akan meningkatkan lagi rondaan dan menangkap individu terlibat dalam pecah rumah di penempatan terbabit.

Adun Gemas, Abd Razak Ab Said pula berkata, pihaknya sudah membuat permohonan agar Pondok Polis Jelai dinaik taraf kepada Balai Polis Gemas bagi membolehkan penambahan anggota yang mampu menangani permasalahan sosial di kawasan tanah rancangan berkenaan.

“Bilangan penduduk akan bertambah pada masa hadapan, lebih-lebih lagi Gemas kini akan semakin membangun dengan pelbagai perancangan ekonomi menjelang 2045.

“Oleh itu, perancangan drastik termasuk menaik taraf pondok polis di Felda Jelai kepada balai polis amat perlu memandangkan kita percaya dengan penambahan anggota di penempatan berkenaan, usaha bagi menangani kes jenayah, penyalahgunaan dadah akan dapat dibuat dengan lebih berkesan lagi,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");