Membawang Hari Ini

Pengarah kecewa filem Jagat dianaktirikan

PENGARAH filem Jagat, Shanjhey Kumar Perumal tidak menyalahkan saingan daripada filem luar negara, sebaliknya kecewa sikap pawagam yang tidak menyokong filem tempatan.

Ini kerana, katanya, filem tempatan tetap mempunyai kelompok peminatnya tersendiri dan faktor filem luar negara bukan menjadi alasan tempoh tayangan filem Jagat di pawagam dikurangkan.

Bahkan, Shanjhey juga percaya peminat filem Tamil tempatan terus menonton filem pertama arahannya itu walaupun lambat.

“Saya tidak mempunyai masalah walaupun waktu tayangan filem ini adalah sama dengan waktu tayangan filem Star Wars mahu pun Dilwale.

“Kerana pada akhirnya peminat filem Tamil akan tetap menonton filem Tamil walaupun mereka telah menonton filem luar.

“Cuma apa yang saya kesal ialah ada beberapa pawagam yang bertindak untuk menghentikan tayangan filem ini. Sepatutnya berilah kami peluang,” katanya ketika dihubungi Zass.

Filem Jagat yang dibintangi Harvin Raj, Jibrail Rajhula, Tinesh Sathi Krishnan dan Kuben Mahadevan itu terpaksa bersaing dengan filem blokbuster, Star Wars: The Force Awakens dan Dilwale kerana ditayangkan serentak 17 Disember lalu.

Pada masa sama, Shanjhey mengakui terkilan tindakan pawagam meletakkan tempoh waktu tayangan filem sesuka hati.

“Contohnya, tayangan filem Jagat pada waktu malam telah ditukarkan hanya pada siang hari, sebelum ini padahal sememangnya sudah ada slot pada sebelah malam untuk filem tempatan.

“Bukan itu saja, apa yang kita dengar apabila kita ingin menempah (booking) tiket dalam melalui online, sistem menyatakan ia sudah penuh, tetapi apabila pergi sendiri ke pawagam perkara sebaliknya yang berlaku.

“Kita dapat lihat, pawagam tidak melanggar peraturan, tetapi cuba untuk ‘bermain’ dengan peraturan itu,” katanya.

Shannjhey berharap agar pawagam dapat memberi kerjasama baik kepada pembikin filem tempatan sekali gus membuktikan kemampuan mereka dalam industri perfileman negara.

“Kita bukanlah meminta tayangan yang berlebihan kerana memahami yang kita hanyalah sebuah produksi kecil.

“Malah, jika diberikan tayangan bagi satu pawagam kecil pun sudah memadai.

“Apa yang kita mahukan adalah masa dan tayangan konsisten,” katanya.

Mengakui kecewa dengan situasi itu, Shanjhey turut gesa Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas) tampil campur tangan menyelesaikan isu itu.

Katanya, filem Jagat menerima respons baik penonton bukan sahaja India, tetapi juga Melayu dan Cina.

– Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");