Sukan Hari Ini

Pesanan orang lama buat Kedah

KENANGAN menjulang Piala Malaysia buat pertama kali oleh Kedah pada 1990 masih dikenang bekas pertahanan kental pasukan itu, Mohamad Ramlee, 50, yang percaya skuad hari ini mampu mengulangi pencapaian 25 tahun lalu dengan menjinakkan Selangor pada final 2015 malam ini.

Baginya, tiada yang mustahil dilakukan walaupun beraksi di Stadium Shah Alam kerana prestasi semasa Kedah menunjukkan mereka mempunyai rekod baik di laman lawan.

“Pesan saya, setiap pemain tidak boleh lalai walaupun sekejap sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung kerana ia boleh menjadi punca kepada kekalahan.

“Kelalaian merupakan musuh penting kepada setiap pasukan dan jika ini dapat ditangani pasti yang paling kurang buat kesilapan akan muncul juara,” katanya yang turut membantu Hijau Kuning menjulang Piala Malaysia buat kali kedua pada tahun 1993 kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu mempunyai resipi tersendiri dan ramuan cukup untuk membantu Kedah menjulang Piala Malaysia buat kali kelima selepas pasukan kali terakhir melakukannya pada 2007 dan 2008.

Sementara itu, bekas pemain tengah Kedah 2001 hingga 2005, Amirul Nizam Mahadzir, 35, percaya peluang untuk Kedah membawa pulang Piala Malaysia cerah berdasarkan prestasi pasukan.

Menurutnya, corak permainan Kedah semakin baik dan persefahaman banyak meningkat namun pasukan tidak perlu ghairah dan perlu bermain seperti biasa.

“Jentera tengah yang diperkuatkan oleh Sandro Da Silva, Liridon Krasniqi dan Baddrol Bakhtiar merupakan aspek penting di dalam membantu pasukan menghadapi Selangor kali ini.

“Chidi Edeh selalu melakukan jaringan apabila pasukan perlu dan ini merupakan satu kekuatan. Cuma saya harap penjaga gol Kedah, Firdaus Muhammad dapat mengekalkan konsistensinya apa lagi ini adalah finalnya.

“Harap barisan pertahanan juga perlu fokus dengan serangan sekali sekala dari bahagian kiri dan kanan terutama Andik Vermasyah,” katanya.

– Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");