Berita Hari Ini

PKNS bantu 2,082 pelajar asnaf

Banting: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tampil menghulurkan bantuan kepada 2,082 pelajar asnaf dari 62 sekolah agama dan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Kuala Langat dan Petaling untuk sesi persekolahan Januari ini.

Pengurus Besar PKNS Azlan Md Alifiah berkata, bantuan bernilai RM165,000 itu membantu meringankan beban ibu bapa pelajar yang fakir miskin untuk menyiapkan kelengkapan anak masing-masing.

Beliau berkata, PKNS memberi sumbangan bernilai RM326,000 kepada 104 maahad tahfiz persendirian di sekitar negeri itu yang diharap mengurangkan beban perbelanjaan institusi pendidikan itu.

“Antara bentuk bantuan yang diberikan termasuk bayaran yuran sekolah, basikal, buku latihan, alat tulis dan cermin mata. Bantuan ini diharap memberi semangat mereka memulakan sesi persekolahan Januari ini.

“Pelajar ini dipilih dengan bantuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan amil kariah di kawasan berkenaan yang datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan,” katanya selepas Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Sekolah Agama dan Sumbangan Maahad Tahfiz Negeri Selangor, di sini.

Turut hadir, Pengarah JAIS, Datuk Haris Kasim.

Azlan berkata, sumbangan kepada maahad tahfiz bagi membantu kos operasi yang terpaksa ditanggung sekolah berkenaan.

Menurutnya, bantuan persekolahan yang disumbangkan itu adalah sebahagian daripada zakat perniagaan PKNS dan disalurkan terus kepada golongan asnaf.

Beliau berkata, keseluruhan PKNS menyumbangkan zakat RM1.7 juta tahun ini kepada asnaf.

“Program sedemikian akan diteruskan pada masa akan datang dengan kerjasama JAIS dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) kepada segenap masyarakat di sembilan daerah di Selangor.

“Saya mengharapkan sumbangan ini mengurangkan beban perbelanjaan ibu bapa dan maahad tetapi merapatkan hubungan antara korporat dan masyarakat,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");