Sukan Hari Ini

Putera Ali calon terbaik teraju FIFA

Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Bolasepak Jordan Putera Ali Al Hussein tokoh terbaik untuk menduduki kerusi nombor satu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Datuk Peter Velappan berkata ini masa terbaik untuk Asia memimpin badan induk bola sepak dunia itu buat kali pertama dalam sejarah.

“Berikutan presiden sekarang Sepp Blatter dan calon penggantinya, Michel Platini sudah terkeluar, secara peribadi saya rasakan Presiden FIFA harus dari luar Eropah…orang Asia.

“Malangnya ketika ini ada dua calon Asia, Putera Ali dan Presiden AFC Sheikh Salman Ebrahim al-Khalifa, situasi yang mungkin memecahkan undi.

“Bagi saya, Putera Ali calon paling sesuai kerana berpendidikan tinggi, kerabat diraja, mempunyai integriti tinggi dan mampu melakukan kerja. Saya mahu melihat beliau memimpin,” katanya.

Presiden Blatter dan Naib Presiden FIFA yang juga Presiden Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA), Platini, masing-masing digantung lapan tahun oleh Jawatankuasa Etika FIFA, Isnin lalu kerana terpalit dengan skandal menyalahgunakan kuasa membabitkan AS$2 juta (kira-kira RM8.6 juta).

Saingan merebut jawatan utama dalam Kongres Khas FIFA pada 26 Februari depan membabitkan Putera Ali, bekas Setiausaha Agung FIFA Jerome Champagne, Setiausaha Agung UEFA Gianni Infantino, Sheikh Salman dan pejuang antiapartheid Afrika Selatan Tokyo Sexwale.

Jika Putera Ali dipilih mengambil alih tugas Pemangku Presiden FIFA Issa Hayatou, beliau akan menjadi tokoh Asia pertama dan orang kedua bukan dari Eropah memegang jawatan itu selepas Joao Havelange dari Brazil menerajui badan itu selama 24 tahun sejak 1974. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");