Berita Hari Ini

RM1.2j rai 314 graduan cemerlang

KUALA TERENGGANU – Sebanyak RM1.2j dibelanjakan sempena Majlis Penganugerahan Sarjana Terengganu Yayasan Terengganu (YT) bagi meraikan 314 graduan anak Terengganu yang cemerlang dan mendapat kelas pertama dengan PNGK atau CGPA 3.75 ke atas.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, kesemua graduan itu adalah graduan cemerlang di peringkat Ijazah Sarjana Muda dari seluruh universiti tempatan dan luar negara.

“Seramai 314 graduan ini diketuai Dr Mohd Firdaus Samsuddin@Mustafa yang dianugerahkan Anugerah Khas Yayasan Terengganu 2015 di mana beliau berjaya mendapat Ijazah kedoktoran dalam bidang Biokimia di Universiti Oxford, United Kingdom.

“Beliau merupakan bekas graduan tajaan YT dan juga merupakan bekas pelajar sekolah angkat YT iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan Kemat, Hulu Terengganu,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu, Yang Dipertua (YDP) Dun, Datuk Mohd Zubir Embong dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Shafruddin Ali Hussin.

Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri mengutamakan peruntukan dalam bidang pendidikan bagi anak-anak negeri ini sebagai galakan kepada mereka meneruskan kecemerlangan pada masa akan datang.

“Peningkatan bilangan penerima hadiah kecemerlangan menjadi satu indikator bahawa anak-anak Terengganu semakin tinggi daya saing dan semakin terbuka dalam mencorak cita-cita mereka.

“Kerajaan negeri amat berbangga dan berpuas hati dengan pencapaian anak-anak Terengganu hari ini, semoga ia menjadi pendorong kepada pelajar lain,” katanya.

Sementara itu, Pengarah YT, Mohamad Sulong berkata, pencapaian cemerlang tahun ini adalah yang tertinggi setakat ini sejak anugerah ini diperkenalkan pada 1998 di mana setiap penerima menerima hadiah berbentuk cek dan sijil penghargaan.

“Sejak 17 tahun lalu, tahun ini adalah pencapaian paling cemerlang yang kita peroleh dan sehingga kini kita telah membelanjakan sebanyak RM4.13 juta untuk diagihkan kepada 1,038 graduan,” katanya.

Berdasarkan data Anugerah Sarjana Terengganu bagi dua tahun terakhir, pada 2014, seramai 98 penerima dengan jumlah kewangan dibelanjakan sebanyak RM490,000 (RM5000 setiap seorang) manakala pada 2013 seramai 137 penerima dengan kewangan sebanyak RM685,000 (RM5000 setiap seorang).

Bagi Anugerah Khas Yayasan Terengganu pula pada 2011 (seorang penerima), 2012 (tiga penerima), 2014 dan 2015 masing-masing seorang penerima dengan jumlah kewangan sebanyak RM5000 diberikan bagi setiap penerima.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");