Sukan Hari Ini

Safiq Rahim jadi pilihan

JUARA Piala Malaysia 2014, Pahang dijangka membolot sekurang-kurangnya lima daripada 13 anugerah yang dipertandingkan pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100Plus-TM 2015, hari ini.

Penjaga gol skuad Tok Gajah, Khairul Azhan Khalid yang beraksi cemerlang sepanjang musim ini, diramal mampu mempertahankan anugerah Penjaga Gol Terbaik walaupun diapit hebat Farizal Marlias dan Khairul Fahmi Che Mat.

Pengendali pasukan Pahang, Zainal Abidin Hassan yang dikatakan akan berhijrah ke Selangor musim depan dilihat calon terbaik memenangi trofi sambil cuba dicabar jurulatih import Johor Darul Ta’zim dan Tan Cheng Hoe dari Kedah.

Dalam pada itu, kapten pasukan JDT, Safiq Rahim diramal berpeluang menggondol anugerah Pemain Tengah Terbaik berikutan ketiadaan penyandang sebelum ini dari Kelantan, Badhri Radzi yang tidak tersenarai.

Dia juga dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai pada kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), baru-baru ini.

Safiq bagaimanapun diberi saingan sengit daripada pemain kreatif Pahang, Hafiz Kamal dan Baddrol Bakhtiar yang mengemudi Kedah mara ke final Piala Malaysia, minggu lalu.

Sementara itu, Baddrol ketika dihubungi akui nama-nama yang tercalon bagi anugerah kali ini begitu hebat khususnya untuk Pemain Tengah Terbaik.

“Saya menyerahkan kepada panel juri bagi membuat keputusan dan menerima seadanya sama ada menang atau tidak esok (hari ini),” katanya.

Anugerah Bola Sepak Kebangsaan merupakan acara tahunan anjuran 100Plus dan Telekom Malaysia (TM) bertujuan mengiktiraf sumbangan pemain bola sepak mengharumkan nama pasukan masing-masing dalam kancah bola sepak tempatan.

Keputusan anugerah berkenaan berdasarkan undian dijalankan jurulatih dan pengurus pasukan Liga Super dan Perdana yang mengundi calon yang layak.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");