Membawang Hari Ini

Senang hati rahsia awet muda Rohana Jalil

KUALA LUMPUR: Kalau mahu tahu rahsia awet muda penyanyi popular era 1980-an, Rohana Jalil, mudah saja, hati mesti selalu senang.

Begitulah yang dikongsi penyanyi Rayuanku itu tatkala diajukan soalan mengenai rahsianya mengekalkan penampilan diri.

Dalam kalangan selebriti, Rohana dilihat suka bersolek dan melaram ketika menghadiri majlis hiburan, pertunjukan fesyen atau acara sosialit.

Bagi ibu kepada penyanyi dan pelakon, Kilafairy ini, peningkatan usia dan kewajipan bertudung bukanlah faktor yang menghalang dirinya melaram.

Bagaimanapun, seiring dengan usia dan imej bertudung, Rohana sentiasa berpada-pada ketika bergaya.

“Bila berjumpa orang, ada yang bertanya kenapa nampak muda? Ada yang cakap saya membuat suntikan itu dan ini.

“Tapi bagi saya, jadi artis ini nampak cantik dan muda sebab gemar melaram. Keluar sana sini bersolek. Paling penting mungkin, saya ikhlaskan hati dalam apa juga perkara yang dilakukan. Kesannya kita jadi senang hati,” katanya.

Rohana berkongsi insiden di mana seorang individu menegur dan memanggilnya ‘adik’.

“Orang itu tanya berapa usia saya. Saya jawab umur sudah 60 tahun. Terkejut juga tengok reaksinya. Dia tanya lagi, kenapa saya tampak muda?

“Saya jawab kembali kepadanya, semuanya sebab kita senang hati,” katanya yang sudah lebih 35 tahun bergelar anak seni.

Rohana berkata, dia masih memenuhi undangan membuat persembahan di sana-sini pada usia emasnya.

“Ikutkan, ada perancangan nak buat single baharu. Tapi saya tak mahu cakap kerana bimbang tak menjadi. Lainlah kalau sudah ada usaha ke arah itu,” katanya.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");