Membawang Hari Ini

Shiha Zikir Tak Kecewa Gagal Raih Gelaran Juara D’Academy Asia

PETALING JAYA: Penyanyi Shiha Zikir terkilan gagal memberikan persembahan bertenaga pada pertandingan akhir D’Academy Asia yang berlangsung di Jakarta, Indonesia pada malam Selasa akibat mengalami sakit tekak.

Shiha atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd Zikir, 28, yang merangkul tempat ketiga berkata, dia kecewa tidak dapat memberikan persembahan terbaik untuk Malaysia memandangkan dia satu-satunya wakil Malaysia dalam pertandingan akhir itu.

“Saya tidak kecewa mendapat tempat ketiga tetapi terkilan gagal memberikan persembahan baik sebagai satu-satunya wakil Malaysia pada peringkat akhir itu.

“Sakit tekak yang saya alami membuatkan saya hampir kehilangan suara sehingga memaksa menurunkan nada ketika menyanyikan lagu Tersisih pada malam tersebut,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Rabu.

Tempat pertama dan kedua masing-masing dimenangi oleh peserta dari Indonesia iaitu Danang dan Lestari.

Pada pertandingan akhir itu, Shiha menyampaikan dua buah lagu iaitu Layar Batuta dan Tersisih dan kemenangan tersebut dia membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah 50 juta Rupiah (RM15,000).

Dalam pada itu, Shiha berkata, sejak menyertai pertandingan tersebut dia tidak pernah menyangka akan dapat memasuki peringkat akhir sekaligus membawa pulang trofi tempat ketiga.

Jelas Shiha, dia bersyukur dengan kemenangan tersebut dan menyifatkan dua peserta akhir lain sangat hebat dan berpengalaman.

“Dapat masuk peringkat akhir pun saya sudah bersyukur kerana tidak pernah menyangka dapat pergi jauh dalam pertandingan ini.

“Danang dan Lestari memang pesaing yang cukup hebat dan dapat berkongsi pentas bersama mereka pun memberi erti besar kepada saya,” katanya.

Dua penyanyi dangdut terkenal Malaysia, Amelina dan Mas Idayu turut bertindak sebagai komentar bersama-sama nama lain seperti Ivan Gunawan, Rosalina Musa, Inul Daratista, Saipul Jamil, Fakhrul Razi dan Showimah.

Sementara empat juri profesional mengadili persembahan tiga peserta akhir adalah Hetty Koes Endang, Pak Ngah, Mayuni Omar dan DJ Daffy.

Acara yang berlangsung meriah itu turut diserikan dengan persembahan pembukaan daripada Judika, Iis Dahlia, Iyeth Bustami dan Rita Sugiarto.

Malah Shiha turut berduet dengan Rita Sugiarto pada malam tersebut.

Sementara itu, Shiha berkata, dia berharap D’Academy Asia dapat menjadi platform untuknya mengembangkan bakat nyanyiannya di Indonesia selepas ini.

Malah kata Shiha, pihak Indosiar telah pun merangka aktiviti promosi untuknya pada Januari ini dan berharap dapat diterima baik oleh penggemar muzik di negara itu.

“Insya-Allah saya akan terlibat dalam rangka promosi bermula 10 Januari ini dan berharap pertandingan ini akan membuka lebih banyak ruang untuk kembangkan bakat nyanyian di Indonesia.

“Alhamdulillah setakat ini sudah pun ada beberapa tawaran namun saya akan kembali ke Malaysia terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Shiha berkata, sejurus pulang ke ibu negara dia akan mempromosikan single terbaharu ciptaan komposer Ajai berjudul Seperti Novel Cinta.

-mStar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");