Berita Hari Ini

Tambang bas sekolah meningkat

GEORGETOWN – Tambang bas sekolah yang meningkat saban tahun nyata membebankan ibu bapa terutama yang berpendapatan rendah.

Timbalan Presiden Persatuan Hindu Pulau Pinang (PHA), P Murugiah berkata, kerajaan seharusnya memantau kenaikan itu agar tidak membebankan rakyat.

“Pemantauan berterusan membolehkan pihak pengurusan bas sekolah tidak menaikkan harga sesuka hati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Bantuan Peralatan Sekolah di Klinik Jalan Sungai.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri (TKM2), P Ramasamy yang turut menyerahkan sumbangan kepada murid-murid kurang berkemampuan dari Kulim, Kedah, Nibong Tebal, Sungai Bakap, Bagan Ajam, Seberang Perai, Balik Pulau dan Georgetown.

Murugiah turut mencadangkan agar perkhidmatan bas sekolah secara percuma diwujudkan Kementerian Pendidikan khas buat mereka yang berpendapatan rendah.

“Perkhidmatan bas percuma disediakan buat pelancong, namun anak-anak dari keluarga kurang mampu tidak diberi perhatian sewajarnya.

“Sedangkan mereka ini bersusah payah menghabiskan duit demi pelajaran dan kita sebagai pihak yang menyediakan bantuan, perlu meringankan beban mereka,” katanya.

Dari pemantauan dibuat, ada ibu bapa yang berpendapatan rendah mengadu tidak mampu menghantar anak ke sekolah kerana tidak mempunyai pengangkutan dan sekiranya ingin membayar wang bas sekolah, ia terlalu mahal.

Katanya, bukan saja tambang bas, pakaian seragam sekolah turut naik sejak dua tahun lalu.

“Sekiranya tidak dikawal, dalam tempoh beberapa tahun akan datang, keadaan akan bertambah buruk, yang saya risaukan ialah golongan ibu tunggal dan susah,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");