Jenayah

17 batang pokok kena kelar

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengesan tindakan vandalisme terhadap 17 pokok di Wangsa Maju yang bertujuan mematikan pokok berkenaan.

Pengarah Jabatan Landskap dan Rekreasi DBKL, Mustafa Mohd Nor berkata, bagaimanapun hasil aduan orang ramai dan tindakan pantas DBKL, pokok yang ‘dikelar’ itu dapat diselamatkan.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati terdapat usaha bagi mematikan pokok-pokok berkenaan secara sengaja dengan mengelar batangnya.

“Sebanyak 17 pokok tersebut ditoreh dan dikelar di sekelilingnya bagi tujuan mematikan saluran makanan supaya sumber air dan nutrien daripada akar tidak dapat disalurkan kepada dahan utama, ranting dan daun pokok.

“Pokok ini akan mati secara perlahan-lahan dan kejadian musnah laku sedemikian adalah yang pertama berlaku di Kuala Lumpur serta mungkin dilakukan atas kepentingan dan keperluan individu tanpa memikirkan kesannya kepada alam sekitar kelak.

“DBKL bertindak pantas susulan aduan dengan melaksanakan operasi menyelamat menggunakan kaedah ‘cantuman rentas’ (bridge drafting),” katanya selepas meninjau operasi menyelamatkan pokok berkenaan di sini, baru-baru ini.

Terdapat empat jenis pokok yang dikenal pasti terjejas akibat perbuatan vandalisme tersebut iaitu spesies Samanea sebanyak lima batang, Tabebuia (lima), Acacia (enam) dan Peltophorum (sebatang) yang terletak berhampiran Rampai Business Park di sini.

Dalam pada itu, Mustafa berkata, kaedah yang digunakan adalah membalut luka kelar agar kulit pokok dapat tumbuh kembali serta saluran makanan dapat diteruskan melalui rentasan yang dibuat menggunakan ranting hidup.

Katanya, satu laporan polis juga dibuat berhubung perbuatan vandalisme itu bagi menjejaki individu terbabit.

“Seksyen 36 di bawah Akta Perancangan Wilayah Persekutuan 1982 telah menetapkan larangan bagi memotong pokok yang ukur lilitnya melebihi satu meter dengan sengaja hingga menyebabkan pokok itu mati.

“Perbuatan ini sangat tidak wajar terjadi dalam masyarakat bertamadun kini kerana pembangunan pesat dalam bandar perlu seiring dengan usaha DBKL menanam dan menyelenggara seberapa banyak pokok bagi mengimbangi keperluan oksigen,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");