Perak Hari Ini

Tindakan Ali Tinju Tidak Mewakili PVATM

IPOH: Segala tindakan yang dilakukan oleh Pemimpin Gerakan Merah 1Malaysia, Mohd Ali Baharom atau lebih dikenali sebagai Ali Tinju tidak mewakili Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM).

Menurut Yang DiPertua PVATM Negeri Perak, Leftenan Komander (B) Jayah Said, Veteran ATM di negeri ini melahirkan kekecewaan berhubung segala tindak tanduk  disifatkannya tidak bertanggungjawab yang dilakukan oleh Ali Tinju.

Beliau yang juga merupakan Naib Presiden PVATM negara berkata, tindakan bekas tentera itu juga dilihat bercanggah dengan budaya, tataetika dan nilai-nilai murni Veteran ATM.

“Setiap kali beliau melaksanakan perkara-perkara yang tidak diingini itu, beliau selalu mengaitkan bahawa beliau adalah bekas tentera dan berhak berbuat demikian.

“Tindakan beliau banyak mencemarkan imej persatuan, dan untuk makluman, beliau hanya ahli biasa dan tidak memegang sebarang jawatan dalam PVATM sama ada di peringkat cawangan, negeri dan negara,” katanya dalam sidang media yang diadakan di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, Ali Tinju pernah menubuhkan Persatuan Veteran Tentera Melayu Selangor dan Wilayah Persekutuan, tetapi persatuan tersebut dipertikaikan kerana sangsi tentang keahlian beliau.

“Perkara tersebut telah terbukti kerana persatuan tersebut telah dibatalkan oleh Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 1 April 2014… Kalau beliau mengatakan bahawa beliau mewakili Veteran ATM, itu adalah tidak betul,” tegasnya lagi.

Jayah juga berkata, pihaknya menyokong penuh tindakan yang telah dilaksanakan oleh Majlis Eksekutif PVATM yang menerangkan kepada umum bahawa Ali Tinju bukan Presiden persatuan tersebut.

Dalam pada itu, beliau juga berharap agar Majlis Eksekutif dan Majlis Tertinggi PVATM dapat menyegerakan tindakan disiplin terhadap Ali Tinju kerana telah melanggar Perlembagaan dan peraturan-peraturan pentadbiran persatuan.

Tegas beliau lagi, pihaknya akan berdiri teguh dan menyokong semua tindakan yang diambil oleh Presiden serta pucuk pimpinan persatuan termasuk saranan agar pemecatan Ali Tinju daripada persatuan.

“Tindakan tegas yang akan diambil boleh mengelakkan nama baik persatuan dari tercemar dan pemecatan itu adalah selaras dengan kehendak Perlembagaan dan Peraturan-peraturan yang ada dalam Persatuan.

“Selepas dipecat nanti, dia (Ali Tinju) boleh melakukan apa sahaja kerana dia tidak bersangkut paut lagi dengan persatuan kami. Biar pihak berwajib dalam kerajaan menentukan nasib dan masa hadapannya,” ujar beliau lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");