Jenayah

6 lelaki terlibat judi ditahan dalam Ops Dadu

KOTA TINGGI: Tiga lelaki ditahan kerana menjalankan kegiatan perjudian nombor ekor haram dalam tiga serbuan berbeza yang dilakukan sempena Ops Dadu di sekitar kawasan bandar Kota Tinggi, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, tangkapan pertama pada jam 4 petang dilakukan Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi.

Menurutnya, seorang lelaki berusia 28 tahun ditahan kerana menjalankan kegiatan perjudian empat nombor ekor awam haram di sebuah kedai minuman dan makanan.

Beliau berkata, pihaknya merampas sebuah telefon bimbit Nokia bersama simkad U Mobile, satu pencetak mudah alih bersama kertas pencetak, dua helaian kertas-kertas tercatat angka-angka serta wang tunai RM44.

“Tangkapan kedua dilakukan di lorong jalan belakang sebuah kedai di Jalan Tambatan pada jam 4.20 petang membabitkan seorang lelaki berusia 59 tahun kerana menjalankan kegiatan perjudian sama.

“Sebuah telefon bimbit Nokia bersama simkad U Mobile, satu pencetak mudah alih bersama kertas pencetak, dua helaian kertas tercatat angka serta wang tunai RM56 turut dirampas dalam tangkapan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Rahmat berkata, tangkapan ketiga dilakukan di sebuah bengkel motosikal di Jalan Kota kecil pada jam 5.15 petang melibatkan seorang lelaki berusia 46 tahun kerana menjalankan kegiatan serupa.

Menurutnya, barang yang dirampas ialah sebuah telefon bimbit Nokia bersama simkad Digi, satu pencetak mudah alih bersama kertas pencetak, lima helaian kertas tercatat angka dan wang tunai RM48.

Manakala, dalam operasi yang dijalankan Selasa lalu kira-kira jam 12.35 tengah hari pula, pihaknya menahan tiga lelaki kerana terlibat judi atas talian.

Satu pasukan petugas JSJ IPD Kota Tinggi menyerbu sebuah kedai minuman di Jalan Dato Jaafar Taman Mutiara Desaru, Bandar Penawar.

“Dalam serbuan itu, tiga lelaki ditahan kerana terlibat permainan judi atas talian. Mereka berusia antara 33 hingga 69 tahun dan penduduk Bandar Penawar.

“Barangan yang dirampas dalam serbuan itu, satu WiFi jenama Yes dan dua telefon bimbit jenama Samsung. Semua rampasan dan tangkapan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut manakala tiga lelaki terbabit ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut,” katanya.

Rahmat berkata, semua empat serbuan tersebut disiasat di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");