Membawang Hari Ini

Filem Hindi beri keseronokan kepada penonton

NALURI masyarakat tempatan terutamanya Melayu yang suka keseronokan dan hiburan menjadi penyebab kepada pengaruh filem Hindustan.

Pakar Sosial, Universiti Putra Malaysia (UPM), Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, daripada perspektif sosial, pengaruh utama daripada filem Hindi adalah melalui jalan ceritanya yang berteraskan hiburan semata-mata.

“Jika kita menonton mana-mana filem Hindi, ia akan mengambil tempoh yang agak lama sehingga dua atau tiga jam lamanya.

“Setiap jalan ceritanya diselitkan dengan lagu-lagu yang merdu meskipun lagu itu menyedihkan. Ini kerana, mesejnya disampaikan melalui lagu.

“Tetapi, lagu ini berada di bawah acuan hiburan dan oleh kerana sifat masyarakat kita yang sememangnya menggemari hiburan maka sebab itulah minat itu secara semula jadinya datang,” katanya.

Jelasnya, kaedah atau cara pembuatan filem Hindi yang tidak menampakkan aksi intim secara keterlaluan turut menjadi penyumbang kepada faktor tersebut.

“Masyarakat tempatan terutamanya Melayu mempunyai pegangan agama yang kuat selain sifat malu yang menebal.

“Lihat filem-filem antarabangsa terutamanya filem Inggeris, sudah tentunya akan ada adegan berpeluk dan bercium. Keadaan itu kurang disenangi oleh masyarakat.

“Sebaliknya melalui filem Hindi pula, setiap aksi intim itu ditonjolkan dalam sisi yang berbeza. Namun, saya sedar, ada filem Hindi yang bersifat agak keterlaluan, sejak kebelakangan ini,” katanya.

Pada masa sama, Mohammad Shatar mengakui, pengaruh filem Hindi sudah lama bertapak kukuh di negara ini, sejak sekian lama lagi.

Katanya, tidak dinafikan, filem Hindi mempunyai keunikan dan tarikannya tersendiri sehingga menjadi kegemaran setiap lapisan masyarakat.

“Lihatlah, adakah kita faham bahasanya? Memanglah ada disediakan sari kata tetapi bukan semua boleh membacanya.

“Namun, meskipun tidak memahami, penonton sama ada yang muda mahupun tua sanggup menghabiskan masa berjam-jam lamanya di depan televisyen atau pawagam.

“Saya langsung tidak nampak berlakunya sebarang trend perubahan, dan sekiranya keadaan ini diteruskan, maka saya beri jaminan filem Hindi akan terus diminati sampai bila-bila,” katanya.-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");