Sukan Hari Ini

Irfan puas walau seri

Kuala Lumpur: Jurulatih FELDA United, Irfan Bakti Abu Salim berpuas hati dengan keserasian pemain baru dan lama yang menyaksikan mereka mengikat skuad kebangsaan Bangladesh 1-1 pada perlawanan kedua Piala Bangabandhu kelmarin.

Menurutnya, anak buahnya beraksi baik pada perlawanan berkenaan dan memang beliau mengharapkan peningkatan dapat dipamerkan sebagai persiapan terbaik menjelang Liga Super musim 2016.

“Saya memang mahu pemain mempertingkatkan prestasi dari setiap perlawanan kerana kami baru saja memulakan latihan pramusim,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Dalam perlawanan itu, FELDA United terlebih dulu berada di depan apabila memperoleh jaringan melalui Hadin Azman pada minit ke-54, sebelum penyerang tuan rumah, Mithun Chowdhury menyamakan kedudukan pada minit ke-76.

Irfan berkata, setakat ini penyerang Bobby Gonzales masih lagi mencari rentak untuk cuba menyesuaikan diri dengan pemain lain, namun Abdul Shukur Jusoh, S Sivanesan, Norfazly Alias dan Ahmad Ezrie Shafizie berjaya membentuk persefahaman mantap.

“Saya lihat kesemua pemain baru itu dapat menyesuaikan diri dengan pasukan dan semalam (kelmarin) kami berjaya menjaringkan gol sulung kejohanan ini melalui Hadin selepas menerima hantaran silang pertahanan kanan, Hasni Zaidi Jamian.

“Sekarang ini memang kecergasan pemain belum lagi pada tahap 100 peratus apabila dalam perlawanan semalam terutama bermula minit ke-75 mereka sudah mula memperlahankan rentak permainan,” katanya.

Beliau berharap kesemua pemain akan mencapai tahap kecergasan terbaik sebelum bermulanya saingan liga apabila mereka mempunyai tempoh lagi tiga minggu untuk menyesuaikan diri termasuk bersama tiga tonggak import iaitu Thiago Augusto Fernandes, Gilberto Alemao dan Lutfulla Turaev.

Irfan mengharapkan anak buahnya mampu memberikan prestasi terbaik menjelang perlawanan terakhir Kumpulan A bertemu Sri Lanka hari ini untuk mencari slot ke separuh akhir.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");