Membawang Hari Ini

‘Kami sebenarnya sibuk’

Menerusi laporan RAP sebelum ini, pelakon dan pengacara Zulin Aziz menyatakan hubungannya dengan anggota Forteen, Ariz Lufias semakin renggang.

Menurut Zulin, perkara itu disebabkan kebanyakan peminat Ariz yang terdiri daripada gadis remaja kurang senang mereka bersahabat baik atau menjalin hubungan rapat.

Tidak mahu terus dipersalahkan, Ariz atau nama sebenarnya Saifulridzuan Abdul Hamid menjelaskan ia sebenarnya berpunca daripada kesibukan kerjaya masing-masing.

“Saya terkejut apabila Zulin mengeluarkan kenyataan sedemikian. Sebenarnya, sejak beberapa bulan lalu kami sibuk dengan kerja masing-masing.

“Jadi, kami jarang berjumpa dan akhirnya hubungan menjadi renggang. Cuma sesekali kami berhubung menerusi WhatsApp, tetapi atas urusan kerja,” katanya.

Ariz juga menafikan dia sengaja menjauhkan diri kerana tidak mahu terus-menerus dikatakan bercinta dengan pelakon drama Cik Sinderella dan Encik Tengku itu.

“Boleh dikatakan sepanjang enam bulan tahun lalu, orang sekeliling sering bertanya adakah kami bercinta?

“Jadi, memandangkan kini hubungan kami sudah tidak rapat, bolehlah saya fokus kepada karier. Sekurang-kurangnya, orang tidak lagi bertanya mengenai hubungan kami sebaliknya lebih bercerita mengenai kerjaya Forteen,” katanya.

Tambah Ariz, kesibukan jadual kerja Zulin yang terbabit dalam beberapa program TV dan penggambaran drama antara faktor mereka menjadi renggang.

“Apabila jarang jumpa, itu yang jadi renggang. Tidak pernah bergaduh atau berselisih faham pun. Sebab itu saya pelik kenapa dia menjadikan peminat sebagai alasan.

“Sedangkan di laman sosial, ramai yang memberikan kata-kata positif setiap kali kami memuat naik video nyanyian bersama. Setakat 10 peratus yang tidak suka, pada saya ia perkara biasa,” katanya.

Bagi Ariz, mungkin Zulin terlalu memikirkan komen dan kritikan peminat sehingga membuatkan dia berkata sedemikian.

Sedangkan menurut Ariz, dia sudah berulang kali berpesan agar tidak menjadikan ia sebagai masalah.

“Saya selalu cakap, bukan semua orang sukakan kita. Jadi, tidak perlu pening memikirkan semua itu. Kata orang, ‘haters’ ada di mana-mana. Tambahan pula, ahli kelab peminat dan anggota Forteen lain tidak pernah bermasalah dengannya,” katanya.

Menurut Ariz, apa pun yang berlaku sedikit pun tidak menutup pintu hatinya untuk bekerjasama dengan Zulin pada masa akan datang.

“Dia banyak membantu dan memberi nasihat kepada saya. Jika ditakdirkan suatu hari nanti kami dipertemukan dalam satu acara atau kerja, saya okey dan tidak menolak untuk bekerjasama dengannya.

“Tipu kalau saya kata tidak rindu saat-saat bersamanya apatah lagi ketika merakam lagu. Saya anggap, ada hikmah di sebalik semua ini,” katanya.

Setahun tanpa lagu baru

Berkongsi mengenai kerjaya seni Forteen, Ariz berkata, mereka bakal tampil dengan single terbaru bulan depan.

“Kali terakhir kami muncul dengan lagu baru ialah Lingangan Terakhir pada Februari tahun lalu. Nampaknya sudah hampir setahun kami tidak ada produk baru.

“Sepanjang tiga tahun dalam industri muzik, kami sudah bekerja keras membina nama. Alhamdulillah, sambutan diberikan peminat sangat luar biasa,” katanya.

Bagi diri sendiri pula, Ariz kini mula berjinak-jinak dalam bidang penciptaan lagu.

Kesempatan diberikan komposer Edry Abdul Halim kepadanya untuk mencipta lagu sendiri dianggap peluang berharga.

“Sudah lama saya tunggu detik ini. Pada saya, ia satu pencapaian baru dalam kerjaya dan diri sendiri. Terima kasih kepada Abang Edry kerana mempercayai bakat saya,” katanya.-Harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");