Panasnya Hari Ini

Kerajaan Digesa Buat Keputusan Terhadap Isu Hijab, Arak Dalam MAS

Foto:-Free Malaysia Today

KUALA LUMPUR: Kesatuan Anak-anak Kapal Kebangsaan (NUFAM) menggesa kerajaan supaya membuat keputusan terhadap isu pemakaian hijab dan larangan kepada anak-anak kapal yang beragama Islam daripada menghidangkan arak kepada para penumpang salah satu syarikat penerbangan, Malaysia Airlines System (MAS).

Presidennya, Ismail Nasaruddin berkata, isu tersebut telah lama diperjuangkan oleh persatuannya, namun seringkali mendapat jawapan yang sangat mengecewakan.

“Isu ini telah dibincangkan banyak kali kerana ia dibangkitkan sendiri oleh anak-anak kapal.

“Tetapi jawapan yang diterima sukar untuk berbuat demikian,”katanya, memetik laporan Free Malaysia Today.

Tambah Ismail lagi, beliau tidak menolak pendirian MAS itu kerana syarikat penerbangan tersebut mempunyai tanda dagangan di seluruh dunia yang menawarkan perkhidmatan kepada penumpang bukan Islam dari seluruh dunia.

Ujarnya lagi, Kementerian Pengangkutan juga pernah mengadakan perbincangan berhubung perkara tersebut dengan kesatuan serta membuat keputusan bagi meletak pendirian mengenai isu tersebut.

“Isu ini dibangkitkan lagi oleh sesetengah pihak dan telah dibincangkan di Parlimen tetapi tidak ada apa-apa yang berlaku.

“Walaupun pemakaian hijab merupakan niat yang baik, tetapi pada pandangan holistik, soalan-soalan yang perlu dijawab adalah sama ada MAS boleh mematuhi Syariah,”soalnya.

Mengulas lanjut, pihaknya juga sebelum ini pernah membuat permintaan kepada syarikat penerbangan tersebut, tetapi soalnya, adakah syarikat penerbangan itu mahu mengubah dasar kerja untuk anak-anak kapal yang beragama Islam.

Beliau turut berkata, isu pemakaian hijab di tempat kerja perlu terkandung dalam persekitaran tempat kerja kerana ia merupakan perkara sensitif dalam undang-undang syariah, begitu juga dengan larangan menghidangkan arak kepada penumpang oleh pekerja yang beragama Islam.

Walaubagaimanapun, tambahnya lagi, pekerja juga terperangkap dalam standard prosedur syarikat.

“Keadaan ini menyukarkan anak-anak kapal beragama Islam untuk melaksanakan tugas sedangkan mereka tahu perbuatan itu salah.

“Terdapat juga isu semasa anak-anak kapal sedang berpuasa, tetapi pada masa yang sama, terpaksa menghidangkan alkohol,”ujarnya.

Berikutan itu, beliau dengan tegas meminta agar kerajaan melihat isu tersebut dan membuat sesuatu bagi mengatasi masalah berkenaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");