Sukan Hari Ini

Khe Wei, Vivian enggan tertekan

Kuala Lumpur: Berfikiran lebih matang mampu untuk meredakan tekanan pemain beregu wanita negara, Woon Khe Wei walaupun sedar mereka masih lagi belum berada di kedudukan selesa untuk layak ke Sukan Olimpik Rio 2016.

Pelajar Universiti Malaya (UM) itu berkata, kedudukan mereka sekarang ini boleh diibaratkan berada di antara garisan sempadan iaitu tidak terlalu jauh untuk kelompok pasangan yang sudah layak dan sebaliknya.

“Sebenarnya bukan kami saja sedang bertarung mencari slot ke Olimpik 2016, tapi semua pemain dari seluruh dunia. Memang saya dan Vivian Hoo berhajat beraksi di temasya itu,” katanya ketika ditemui minggu lalu.

Bagaimanapun, pemain berusia 26 tahun itu mengakui jika terlampau memikirkan mengenai kedudukan mereka untuk ke temasya berkenaan ia hanya akan memberikan tekanan kepada diri sendiri.

“Saya hanya akan cuba memberikan yang terbaik. Jika gagal, saya anggap ia sebagai takdir. Bukan saya seorang saja, malah semua orang sudah tentu sedang berfikir sama ada kami mampu layak atau tidak.

“Semua orang seolah-olah memberikan tekanan tapi mungkin umur yang semakin dewasa membuatkan saya tidak terlampau memikirkan soal ini. Saya semakin matang dan hanya mahu bermain badminton dengan tenang,” katanya.

Vivian-Khe Wei sekarang ini menduduki tangga ke-19 dalam perebutan slot ke Olimpik 2016 dengan mengumpul 35,204 mata manakala rakan sepasukan, Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho di tangga ke-27 (30,340 mata).

Ditanya mengenai undian Grand Prix (GP) Emas Terbuka Malaysia yang berlangsung di Pulau Pinang bulan ini, Khe Wei mengakui kejohanan seperti itu sudah bertaraf seperti Siri Super dengan kehadiran ramai pemain hebat.

“Ramai pemain yang berada di ranking tinggi datang dan GP Emas ini seperti Siri Super, namun saya berpuas hati dengan undian walaupun bukan laluan mudah buat kami,” pemenang dua pingat perak Sukan SEA Singapura 2015.

Mereka dijangka bertemu pasangan pusingan kelayakan Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara (Jepun) atau Huang Dongping-Ou Dongni (China) di pusingan pertama kejohanan berkenaan.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");