Jenayah

Umpama bunga api dalam rumah

BALIK PULAU – “Jiran cakap macam ada bunga api dalam rumah,” kata pemilik kediaman di Sungai Pinang yang hangus dalam kebakaran petang kelmarin.

Shawal Ahmad, 57, tidak sangka kediaman yang dibina hasil titik peluhnya musnah sekelip mata.

Menurutnya, ketika kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, dia bersama isteri, Normah Hassan, 47 ke Bayan Lepas untuk mengambil anaknya.

“Memang tak ada orang di rumah, namun jiran ada menceritakan yang mereka terlihat seperti ada bunga api di dalam rumah dan ia terus meletup-letup.

“Tidak lama kemudiannya ia semakin membesar, saya sendiri pun tidak sangka rumah yang dibina lebih 20 tahun lalu akan musnah begini,” katanya kepada Sinar Harian.

Mempunyai empat anak, Shawal tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya bekerja mengambil upah sebagai kontraktor sementara dengan gaji RM50 sehari.

Keadaan lebih perit apabila persiapan sekolah tiga anaknya turut musnah dalam kebakaran itu.

“Saya masih menyara tiga anak dan sekarang hanya mampu termenung saja menghadap rumah yang sudah hangus.

“Kalau ada yang sudi hendak membantu, saya amat alu-alukan, bukanlah mahu merayu, tetapi saya tak ada kediaman lain,” katanya.

Kesulitan dialami Shawal mendapat perhatian Adun Pulau Betong, Muhamad Farid Saad meninjau keadaannya.

Muhamad Farid turut membantu dengan menyediakan penginapan sementara buat keluarga berkenaan di Permatang Pasir, Balik Pulau.

“Memandangkan kejadian berlaku pada waktu cuti, saya telahpun meminta pihak bertanggungjawab untuk turun padang pada hari esok (Isnin).

“Kita akan melihat apa yang diperlukan untuk keluarga ini, dan memandangkan ada anaknya yang akan bersekolah, persiapan persekolahan juga sedang dilakukan,” katanya.

Muhamad Farid turut mengalu-alukan bantuan orang ramai kerana kebanyakan peralatan rumah musnah.

“Mereka boleh menghubungi Shawal di talian 0175876731 atau terus ke rumahnya di 285 Mk. A Sungai Pinang Bukit Kecil, 11000 Balik Pulau,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");