Sukan Hari Ini

Lembik!

Kuala Lumpur: Masalah kecergasan pemain skuad Projek Sukan SEA 2017 mendapat perhatian Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN) Lim Teong Kim (gambar) apabila menyifatkan tahap fizikal pasukan Bawah 22 itu lemah dan lembik.

Katanya, berdasarkan kenyataan pengendali, Frank Bernhadt pada minggu pertama sesi pemilihan membabitkan bekas pemain Harimau Muda B dan C sebelum ini, beliau menegaskan isu itu sepatutnya tidak menjadi masalah jika setiap pihak mengambil serius perkara berkenaan.

“Saya tak faham kenapa tahap kecergasan yang menjadi asas dalam sukan ini masih menimbulkan masalah untuk pasukan bola sepak di negara kita.

“Mengapa begitu sukar jurulatih kita memastikan tahap kecergasan pemain sentiasa berada pada tahap terbaik.

“Saya yakin semua pemain mengetahui tahap kecergasan adalah perkara paling asas dalam sukan ini dan jika tidak dapat menguasainya, tidak perlu untuk mereka bermain bola sepak lagi.

“Itu belum lagi menyentuh berhubung aspek kebolehan teknikal dan pemahaman terhadap taktikal serta kekuatan mental.

“Saya sendiri pelik mengapa mereka selemah ini. Kalau masalah ini terus dibiarkan saya tak nampak pemain kita mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya ketika ditemui pada Forum Bola Sepak Negara di Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil, semalam.

Bernhadt yang diletakkan harapan tinggi untuk memastikan pingat emas acara bola sepak menjadi milik negara, memulakan pencarian pemainnya dengan mengadakan dua sesi pemilihan sejak awal bulan ini.

Namun, bekas pengendali skuad remaja Estonia itu meluahkan rasa kecewa berhubung tahap kecergasan pemain yang dipanggil kerana berada pada tahap kurang memuaskan.

Tambah Teong Kim, setiap pasukan dalam Liga Malaysia harus bertanggungjawab bagi memastikan tahap stamina pemain berada pada kualiti tertinggi sekali gus mampu menaikkan tahap kancah bola sepak tempatan.

“Pemain kebangsaan datang daripada pasukan yang bertanding dalam liga tempatan. Jadi mereka seharusnya turut sama-sama memainkan peranan dalam menghasilkan pemain tempatan berkualiti bagi memastikan skuad kebangsaan dibarisi pemain yang mantap,” katanya.-HARIAN METRO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");