Berita Hari Ini

Mahasiswa lapar: Jangan nafi isu sebenar

SHAH ALAM – Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menggesa supaya pentadbiran di setiap Institut Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini tidak menafikan isu sebenar yang menghantui mahasiswa berhubung bebanan kos sara hidup yang semakin menekan pada masa kini.

Presidennya, Mohammad Fazril Mohd Saleh berkata, sudah tiba masanya bagi setiap pentadbiran di IPT serta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menghadapi isu sebenar yang berlaku kerana ini bukan kali pertama aduan bebanan kos sara hidup mahasiswa diutarakan.

“Sudah sampai masanya pentadbir universiti dan juga KPT sendiri hadapi isu sebenar. Cukuplah berdolak-dalik daripada isu sebenar kerana ‘sindrom penafian’ yang ditunjukkan pentadbir universiti seperti ini tidak akan menyelesaikan masalah,” katanya.

Mohammad Fazril berkata demikian bagi merujuk kepada kenyataan dikeluarkan Sekretariat Timbalan-Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Universiti Awam yang mempertikaikan hasil kajian Pertubuhan Kebajikan Muslim Malaysia (MVM) berhubung isu ‘mahasiswa lapar’ dan menganggap laporan itu sebagai keterlaluan serta mempunyai niat tersembunyi.

Menurut beliau, dengan keadaan kegawatan ekonomi negara serta pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada masa kini, ianya sudah semestinya memberi kesan kepada rakyat dan golongan mahasiswa.

“Dalam masa sama, pada saat mahasiswa terbeban dengan kenaikan kadar yuran, jumlah pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) pula diturunkan. Sudahlah yuran naik, jumlah pinjaman PTPTN pula dipotong,” katanya.

Walaupun isu bebanan hidup mahasiswa sudah beberapa kali diutarakan, Mohammad Fazril berkata, jawapan diterima daripada pihak berwajib sangat mengecewakan kerana mereka secara terus-menerus mengelak.

Ujarnya, PKPIM menyambut baik kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berhubung program kebajikan bernilai RM5.2 juta yang diagihkan kepada 31,776 pelajar memerlukan sepanjang tahun lepas, namun isu kenaikan harga yuran dan pemotongan jumlah pinjaman PTPTN juga harus dipandang serius oleh pihak KPT.

Selain itu, PKPIM juga menuntut agar label ‘simplistik’ dan melulu seperti ‘mahasiswa manja’ yang dikeluarkan pemimpin negara dihentikan.

“Kenyataan pemimpin seperti ini bukan sekadar mengelak isu sebenar, malah melambangkan sikap tidak bertanggungjawab pemimpin yang menyalahkan rakyat atas kegagalan mereka mentadbir negara,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");