Panasnya Hari Ini

Mukhriz Tampil Perjelas Isu

KUALA LUMPUR:Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengambil pendekatan bertemu rakyat untuk memberi penjelasan terutama sekali berhubung desakan 14 daripada 15 Umno Bahagian di Kedah yang menyatakan pendirian hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya.

Memetik sumber Sinar harian, Mukhriz yang juga merupakan Pengerusi Umno Kedah telah beri penjelasan menerusi satu program khas di Wisma Umno Bahagian Jerlun, di sini, semalam.

Dalam ucapannya pada program tersebut beliau menyatakan terkejut dengan tindakan 14 daripada 15 Umno Bahagian di Kedah yang menyatakan tidak lagi yakin dengan keupayaan beliau untuk mentadbir Umno Kedah dan Kerajaan Negeri Kedah.

“Tapi pada hari ini, sekurang-kurangnya saya lihat satu

“Bahagian paling kuat bersama saya ialah Umno Bahagian Jerlun,” katanya.

Tambahnya,jawatan setinggi mana sekalipun yang dimilikinya, di peringkat negeri adalah hasil titik peluh rakyat.

“Atas sebab itulah setiap kali ada perkara-perkara seperti ini berlaku, mahu tidak mahu saya mesti pulang kepada akar umbi, bersama rakyat.

“Yang kita lihat mungkin ada sedikit masalah dalaman parti. Masalah ini sepatutnya diselesaikan secara dalaman, tak perlu libatkan orang lain. Tapi malangnya dalam hal cadangan yang dikemukakan kelmarin untuk gugurkan saya sebagai pengerusi perhubungan dan menteri besar,” ucapnya lagi.

Tambahnya, sebagai pengerusi perhubungan berkemungkinan ia disifatkan sebagai masalah dalaman Umno sahaja namun bagaimanapun sebagai menteri besar ia adalah sebenarnya hak rakyat untuk menentukan.

“Bukan untuk kita semena-mena buat pilihan sesuka hati. Memang saya akui selepas pilihan raya kalau suatu parti itu mendapat kerusi majoriti dalam Dewan Undangan Negeri, parti itu yang diwakili oleh pemimpin tertinggi akan memilih seorang daripada Adun sebagai pemimpin negeri itu.

“Bukan setakat memilih, mesti dibawa untuk mendapat perkenan Sultan negeri berkenaan. Sultan juga perlu diyakini bahawa orang yang dicalonkan itu mendapat mandat daripada rakyat. Maka ada pihak sebenarnya yang terlibat iaitu perdana menteri, Sultan dan tidak kurang pentingnya rakyat negeri itu sendiri.

“Bayangkanlah kalau dicadangkan satu-satu nama itu tidak mendapat perkenan sultan seperti mana yang pernah berlaku di beberapa negeri sebelum ini, tidak jadi juga. Letaklah siapa pun, tapi kalau raja itu tidak perkenan orang yang dicalonkan itu, tidak lepas menjadi menteri besar,” katanya.

Ujarnya lagi,bagaimana untuk menyakinkan rakyat sekiranya pemimpin peringkat tertinggi di negeri itu tidak diyakini dan tidak dapat sokongan padu daripada rakyat.

“Saya lihat bukanlah nak ‘masuk diri dalam bakul, angkat diri dalam bakul’. Kurang-kurang selepas PRU13, salah satu faktor kemenangan adalah apabila dua hari sebelum mengundi Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah buat kenyataan BN menang, Mukhriz jadi menteri besar.

“Saya dimaklumkan begitu ramai sekali, bukan setakat di Kedah tetapi pengundi-pengundi luar khusus di kalangan anak-anak muda yang berduyun-duyun balik ke negeri untuk mengundi kerana merasakan bahawa akhirnya angin perubahan yang mereka minta itu berlaku di Kedah.

“Maka mereka pun nak pastikan BN menang dan mereka menikmati apa juga perancangan kerajaan baru BN di negeri Kedah yang kita sayangi. Dan itu pun yang kita lakukan dan dapat mandat yang sepenuhnya,” ucapnya lanjut.

Tambahnya lagi dari segi pembangunan semua bahagia telah diberi perhatian.

“Dari segi sosial pun kita buat, pondok-pondok agama kita jaga, sukan kita utamakan. Mana mungkin kalau tidak kerana strategi yang dipasang dan dilaksana begitu baik, akhirnya Piala Perdana pun kita julang. Bukan setakat itu, Piala Malaysia pun Naib Juara dan dipilih sebagai pasukan bola sepak terbaik bagi 2015.

“Kalaupun ada sedikit masalah, mungkin di peringkat atas tidak dapat diselesaikan. Kalaupun ada masalah, kita boleh duduk berbincang.

“Saya selaku pengerusi perhubungan tentunya boleh bagi ruang kepada ketua-ketua Umno Bahagian. Kerana itu pun tanggungjawab saya. Tapi saya pohon janganlah pula kerana ada hubungan yang begitu baik dengan pucuk kepimpinan di peringkat nasional, maka menidakkan hak saya sebagai ketua Umno di negeri ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");