Membawang Hari Ini

Rai ulang tahun kahwin di China

Disember lalu genap enam tahun usia perkahwinan pelakon Zizie Izette bersama Datuk Bung Mokhtar Radin yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan.

Berbeza daripada sambutan sebelumnya, kali ini kakak kepada pelakon popular Shaheizy Sam ini meraikan ulang tahun perkahwinannya di China apabila suaminya menjalani rawatan kesihatan di sana.

“Sudah tiga bulan saya berulang-alik ke sana. Alhamdulillah, keadaan suami semakin pulih. Insya-Allah dia akan pulang ke tanah air minggu depan.

“Selain sibuk dengan perniagaan, pada masa sama saya perlu memberi tumpuan kepada suami,” katanya.

Selain itu, pasangan ini juga mengambil anak angkat perempuan yang diberi nama Naila Nurjenna selepas pulang mengerjakan umrah tahun lalu.

“Hasrat mengambil anak angkat ini sudah lama, tetapi asyik tertangguh. Sejak 2014 lagi hati saya kuat untuk mengambil anak angkat.

“Tahun lalu, saya bulatkan niat ke arah itu. Lagipun nak ambil anak angkat bukannya mudah kerana banyak prosedur yang perlu dilalui,” katanya.

Menurut Zizie, kehadiran Jenna yang baru berusia setahun itu mengeratkan lagi hubungan mereka suami isteri.

Bergelar ibu membuatkan rutin harian Zizie berubah 360 darjah.

“Diakui masa saya semakin sibuk. Selain perlu fokus kepada perniagaan tudung, keutamaan saya juga terhadap anak.

“Alhamdulillah, saya dapat membahagikan masa dengan sebaik-baiknya. Sesibuk mana sekali pun, saya tetap mendahulukan perkara yang lebih penting iaitu keluarga,” katanya.

Kesibukan Zizie itu bagaimanapun bukan bebanan buat dirinya, sebaliknya dia lebih suka kerana menjadi seorang yang lebih produktif.

Berkongsi berkenaan kerjaya seninya, Zizie menangguhkan hastat untuk membuat kemunculan semula disebabkan kesihatan suaminya yang tidak mengizinkan.

“Sepatutnya saya kembali berlakon Disember lalu, tetapi mungkin belum rezeki saya. Saya tetap mengutamakan keluarga dan kerja jatuh nombor dua.

“Jika semuanya sudah kembali okey, Insya-Allah saya akan kembali berlakon,” katanya.

Sam banyak berahsia

Sebagai kakak, Zizie mengkui adiknya, Sam seorang yang kuat berahsia apatah lagi membabitkan kisah peribadi.

“Kami jarang berjumpa malah jauh sekali bercakap hal peribadi. Bukan apa, Sam terlalu berahsia. Sehinggakan saya perlu cari dan ambil tahu sendiri.

“Sebelum ini saya kenal bekas kekasihnya dan kami agak rapat manakala Syatilla Melvin masih baru. Tetapi dalam perkara ini, saya terbuka kerana ia adalah pilihan dan masa depan Sam.

“Apabila sudah mengenali Syatilla, saya pun jatuh hati dengan personaliti dan perwatakan dirinya yang sangat baik,” katanya.

Zizie juga menyifatkan bakal adik iparnya itu memilki tahap kesabaran tinggi.

“Sam jenis suka membuat hal sendiri. Ada ketika setiap perbuatannya itu sukar dijangka. Jadi, siapa dapat sabar dengannya, saya memang kagum. Ternyata, Syatilla berjaya melepasi tahap itu,” katanya.

Kata Zizie, pada mulanya dia tidak dapat menjangka sejauh mana kesudahan hubungan Sam dan Syatilla.

“Semuanya seperti samar-samar sebab dia terlalu berahsia. Itu memang sikapnya sejak dulu lagi. Apabila saya bertanya bila nak berkahwin, dia menjawab tidak tahu.

“Jadi pada saya, kalau perkara itu berlaku baru saya yakin ia wujud. Akhirnya apabila dimaklumkan mereka akan berkahwin dan berada pada sesi sidang media, saya percaya dia membuat keputusan tepat,” katanya.

Zizie juga berpesan kepada Syatilla supaya mengekalkan sikapnya yang sentiasa menjadi diri sendiri.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");