Membawang Hari Ini

‘Saya bukan Datuk bukan Datin’

Bukan sekali dua bahkan sudah berkali-kali. Bagi yang ‘gila’ pangkat pastinya amat berbangga, tidak pun buat muka selamba namun berbeza dengan Aspalela Abdullah, yang risau memikirkan muktahir ini ramai menyapanya dengan panggilnya Datin atau Datuk.

Ketika ditemui di kediamannya di Taman Melati, Aspalela yang mesra dipanggil Kak Aspa berkata jika panggilan itu terlepas daripada mulut orang awam terutama peminatnya sendiri boleh dimaafkan, tetapi ia berlaku dalam beberapa program anjuran RTM.

“Orang memanggil saya Datin itu sudah lali telinga saya mendengarnya, tetapi yang buat saya tergamam dalam beberapa majlis pengacara menyebut nama saya dengan pangkal Datuk. Sebagai insan seni siapa yang tidak berbangga jika dikurniakan darjah yang mulia itu.

“Cuma ingin saya jelaskan, setakat ini saya bukanlah Datin ataupun Datuk. Saya biasa-biasa saja malah lebih mesra jika orang memanggil saya Kak Aspa. Ikutkan sudah lama saya mahu membuat kenyataan ini kerana khuatir pelbagai pihak terus keliru apabila berhadapan dengan saya memanggil saya Datin atau Datuk. Walhal saya tiada apa-apa gelaran hanya ibu dan nenek kepada tiga cucu,” katanya.

Aspalela juga balu pelawak dan pengarah Raja Ismail Raja Saat (Allahyarham) sudah mengabdikan diri hampir setengah abad sejak muncul Juara Bintang Radio 1968. Setakat ini beliau belum menerima anugerah terpuji sekalipun ayah saudaranya SM Salim sudah bergelar Tan Sri.

Bagi Aspalela, ketika hayat suaminya ada, Raja Ismail bersama Presiden Seniman pertama, Zainuddin Zimbo (Allahyarham) adalah antara pihak bertanggung­jawab mencadangkan nama artis untuk menerima pingat AMN (Ahli Mangku Negara) dan PJK (Pingat Jasa Kebaktian).

“Jasa Zimbo dan suami saya ada dalam industri seni tanah air, sudahnya sampai ke mati kedua-duanya tiada pingat untuk dihargai,” katanya.

Di sebaliknya, Aspalela berbangga apabila menerima Anugerah Penghibur Sepanjang Zaman atas jasa Khidmat Bakti dan Kesinambungan Seni Warisan & Budaya yang disampaikan oleh Tan Sri Dr Rais Yatim pada Disember lalu. Selain Aspalela, majlis anjuran Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) turut memberi peng­iktirafan sama pada Datuk Jefrydin, Datuk M Daud Kilau dan Datin Paduka Julie Sudiro.

“Hanya terima kasih diucapkan pada Karyawan terutama Presidennya Datuk Freddie Fernandez kerana menyenaraikan nama saya untuk menerima Anugerah Penghibur Sepanjang Zaman itu. Serba sedikit ia menyejukkan hati ini yang berbakti sekian lama di bidang seni,” katanya.

Untuk aktiviti kemasyarakatan, Aspalela bersama Datuk Yusni Hamid kini aktif bersama Kumpulan Artis Wanita Malaysia.

Menurutnya, kumpulan yang ditubuhkan pada 30 Mac 2014 itu dianggotai 150 ahli lebih menjurus kepada aktiviti keagamaan.

“Majoriti ahlinya adalah penyanyi veteran seperti saya ini. Program yang kami sertai marhaban, membaca Yasin selain menziarahi kematian membabitkan keluarga ahli. Istimewanya kumpulan ini tiada yuran dikenakan kerana inilah amal bakti kami pada seni dan agama,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");