Berita Hari Ini

Sektor pertanian positif tahun 2016

AGROBANK yakin prestasi sektor pertanian adalah positif pada tahun hadapan berikutan peningkatan permintaan di pasaran tempatan dan eksport terutama bagi sektor agro makanan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman berkata, sektor pertanian kekal menjadi kunci utama untuk pertumbuhan ekonomi negara.

“Pada 2015, Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk sektor pertanian mencecah RM93.2 bilion dan nilai itu dijangka meningkat sehingga RM110.7 bilion pada 2020.

“Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) sangat komited menangani defisit imbangan dagangan yang berjumlah RM17 bilion dan mengurangkan kadar kebergantungan negara terhadap makanan import,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, kementerian telah merencana pelbagai rancangan dalam meningkatkan kadar sara diri negara untuk makanan.

Menurutnya, Agrobank yakin teknologi merupakan salah satu pemangkin kepada usaha untuk meningkatkan penghasilan produk makanan.

“Dan sebagai bank yang diberi mandat untuk memperkasa sektor pertanian, Agrobank bersedia menyokong usahawan dan peniaga untuk mengaplikasikan teknologi terkini dalam meningkatkan produktiviti,” katanya.

Wan Mohd Fadzmi berkata, peruntukan sebanyak RM5.3 bilion untuk sektor pertanian yang diumumkan pada Pembentangan Bajet 2016 Oktober lalu, membuktikan komitmen padu kerajaan dalam mentransformasikan dan memodenkan sektor pertanian sekali gus meningkatkan produktiviti dan beroperasi secara komersial.

Dalam menyokong inisiatif kerajaan dalam meningkatkan pengeluaran makanan, Agrobank menawarkan pelbagai produk pembiayaan yang bertujuan untuk membantu usahawan melebarkan sayap perniagaan mereka seperti contoh Skim Kredit Pengeluaran makanan Fund For Food (3F) dan banyak lagi.

“Potensi sektor pertanian luas untuk diterokai dan ia seiring dengan matlamat untuk meningkatkan tahap sara diri negara, sekali gus mengurangkan tahap kebergantungan terhadap makanan import.

“Selain itu, kita juga mempunyai peluang besar dalam mengeksport produk makanan kita ke pasaran Asean dan juga pasaran halal di peringkat global,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");