Panasnya Hari Ini

Selesaikan Hutang 1MDB, Najib Jangan ‘Syok Sendiri’ – Khairuddin

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diminta tidak cepat ‘syok sendiri’ apabila dapat mengurangkan hutang syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, kaedah penyelesaian masalah syarikat pelaburan strategik Negara itu tidak harus dipuji sama sekali.

“Saya secara peribadi tak minat mengenai program rasionalisasi 1MDB tetapi lebih berminat untuk tahu mana duit-duit pelaburan 1MDB dulu berada pada masa ini?

“Mana pergi duit-duit pelaburan di Kepulauan Caymen sejumlah lebih kurang RM7 bilion? Apa jadi dengan kononnya duit sejumlah hampir RM4 bilion yang sepatutnya disimpan di bank BSI Singapura? Apa jadi dengan duit Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) sejumlah RM4 bilion?

“Kenapa bayar tanah di Ayer Hitam, Pulau Pinang dengan kadar harga begitu tinggi berharga RM1.3 bilion? Kenapa pinjam melalui syarikat Goldman Sachs bayar faedah setinggi kadar 12 peratus? Mengapa beli janakuasa eletrik dengan harga amat tinggi dari kadar pasaran?” soalnya menerusi satu kenyataan yang dimuatnaik melalui Facebooknya, malam tadi.

Khairuddin turut berkata, rakyat Malaysia kini telah kehilangan sebahagian daripada hartanah pusaka milik kerajaan kepada syarikat asing.

“Ini satu pengkhianatan kerana harta milik negara terpaksa digadai kepada orang luar.

“Apa kaedah penyelesaian hutang syarikat 1MDB sepertimana yang diumumkan oleh Najib boleh dibanggakan serta boleh diterima secara waras?”katanya.

Beliau turut menyifatkan kaedah pengurangan hutang 1MDB adalah jijik kerana Negara telah kehilangan sebahagian hartanah paling berpotensi di Negara ini.

“Hakikatnya, kaedah ini amat jijik kerana rakyat Malaysia telah hilang sebahagian daripada hartanah paling berpotensi di Negara kita kepada kuasa luar.

“Kita sepatutnya mempertahankan segala harta milik kerajaan dan Negara, bukan menggadaikannya untuk membayar hutang syarikat 1MDB,”ujarnya.

Terdahulu, 1MDB telah menjual sebanyak 60 peratus daripada ekuitinya dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd pada harga RM7.41 bilion sebagai sebahagian daripada rancangan rasionalisasi untuk mengurangkan hutang sebanyak RM42 bilion.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");