Berita Hari Ini

TPP: Malaysia perlu bersedia umpama pergi berperang

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu bersedia menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) ibarat ‘pergi berperang’ bagi meningkatkan ekonomi negara sebagaimana kemajuan yang dicapai oleh negara lain.

Senator, Datuk Adam Abdul Hamid berkata, ini kerana perjanjian kompetitif itu berpotensi menarik lebih ramai pelabur asing dan membuka akses pasaran baharu untuk negara ini.

“Sampai bila nak cakap kita belum bersedia? Banyak negara lain yang semakin maju…ini ibaratnya seperti pergi berperang, kita tetap kena bersedia pada bila-bila masa,” katanya ketika membahaskan usul penyertaan Malaysia dalam TPP pada mesyuarat khas di Dewan Negara, hari ini.

Adam berkata, penglibatan Malaysia dalam TPP akan memberi peluang kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk memasarkan produk di peringkat antarabangsa selain membolehkan syarikat tempatan berkongsi pangkalan data yang sama dengan negara anggota.

“Mereka (PKS) juga dapat meningkatkan penyelidikan dan mencari lokasi pasaran yang maju dan pada masa sama produk halal dapat dipertingkat di pasaran antarabangsa melalui TPP,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, penglibatan Malaysia dalam TPP juga dapat menghalang pihak tertentu dari terlibat dalam kegiatan pemusnahan alam sekitar.

Mengambil contoh pencemaran alam akibat perlombongan bauksit di Pahang, beliau berkata di bawah perjanjian itu, setiap negara anggotanya akan bertindak sebagai ‘watch dog’ atau pemerhati antara satu sama lain, sekali gus mencegah aktiviti yang tidak diingini.

“Saya sokong soal alam sekitar dimasukkan di bawah TPP kerana ia dapat menjaga flora, fauna, halang penebangan hutan sesuka hati dan penangkapan ikan yang tidak terkawal,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia seharusnya berpandangan jauh seperti negara jiran, Singapura yang memiliki antara pelabuhan terbesar dunia sejak 30 tahun lalu.

Senator Datuk Dr Lucas Umbul ketika membahaskan usul yang sama meminta kerajaan mencari mekanisme dan perancangan dalam memasarkan penjenamaan produk tempatan ke peringkat antarabangsa menggunakan bahasa kebangsaan.

Wakil dari Sabah itu mencadangkan kerajaan menerusi kementerian berkaitan menyediakan garis panduan ketat bagi memastikan syarikat tempatan menggunakan Bahasa Melayu pada produk yang akan dipasarkan di luar negara.

“Kita dapat melihat contoh apabila kita melihat negara Jepun di mana di kedai-kedai produk mereka dijual murah dan mendapat sambutan hebat dengan hanya terdapat dalam tulisan Jepun tiada Bahasa Inggeris kecuali pada tajuk (produk) sahaja, tetapi ianya laris di pasaran malahan masyarakat Malaysia dapat menerima produk ini,” katanya.

Lucas berkata, produk tempatan yang akan dipasarkan di peringkat antarabangsa juga seharusnya mempunyai nilai dan kualiti tinggi bagi meningkatkan persaingan dengan negara anggota yang menyertai TPP.

Sementara itu, Senator Datin Rahimah Mahamad menyambut baik penyertaan Malaysia dalam TPP berikutan ia akan membuka peluang yang luas kepada golongan wanita termasuk usahawan dari Kelantan bagi memasarkan produk ke peringkat antarabangsa.

“Dalam penyertaan TPP, wanita Kelantan yang menceburi bidang PKS dapat menikmati peluang membuat pilihan jualan barang perniagaan mereka ke peringkat antarabangsa,” kata wakil dari Kelantan itu.

Ini kerana, katanya kajian dan pandangan pakar mengatakan wujud kelebihan kepada rakyat Malaysia untuk menembusi pasaran antara negara anggota TPP dengan lebih mudah dalam mengembangkan ruang perniagaan.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");