Berita Hari Ini

TPP: Maritim pertingkat permantauan Selat Melaka

KAJANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) akan meningkatkan pemantauan di perairan negara terutamanya Selat Melaka susulan pemeteraian Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) bagi memastikan keselamatan kapal dagang.

Ketua Pengarahnya, Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata, TPP akan menggalakkan aktiviti perdagangan sekali gus dijangka bakal meningkatkan jumlah kapal dagang yang melalui perairan itu.

“Tahun lepas sahaja, kira-kira 77,000 kapal dagang melalui Selat Melaka dan kita jangka selepas TPP jumlah itu akan bertambah.

“Pada 2004 ke 2005 jumlahnya hanya antara 60,000 dan 65,000 sahaja,” katanya pada program Hari Maritim Bersama Media 2016 di lapang sasar Kompleks Penjara Kajang, di sini hari ini.

Katanya, program berkenaan yang melibatkan pertandingan menembak antara organisasi media diadakan bagi menghargai peranan mereka menyampaikan maklumat Maritim kepada orang ramai.

Ahmad Puzi berkata, Maritim turut bersama pasukan keselamatan negara yang lain dalam memantau ancaman kumpulan pengganas seperti IS.

Untuk itu, Maritim juga sedang memperkukuhkan kemampuan asetnya termasuk penambahan enam kapal dan radar baharu.

“Di Selat Melaka, kita ada sembilan radar dan di Sabah tiga radar. Kita akan miliki dua lagi radar di Selat Melaka iaitu di Pulau Jarak dan Pulau Perak dan ini dengan sendirinya akan meningkatkan pemantauan perairan negara,” katanya.

Sejak 2011 hingga tahun lepas, katanya Maritim telah menahan lapan kumpulan perompak laut dan mendapat pengiktirafan daripada masyarakat maritim dunia.

Beliau juga meminta pengguna perairan negara seperti nelayan untuk membuat laporan pantas kepada Maritim jika terdapat sebarang ancaman atau kesukaran di laut. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");