Berita Hari Ini

4 prinsip tingkat harmoni nasional

Putrajaya: Rakyat negara ini perlu berpegang kepada empat prinsip asas iaitu Perlembagaan Persekutuan, mematuhi undang-undang, Rukun Negara dan mengenal pasti nilai teras merentasi kepercayaan serta komuniti bagi meningkatkan persefahaman dan keharmonian antara penganut pelbagai agama di negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, walaupun Malaysia mempunyai keharmonian nasional, tetapi rakyat perlu berusaha meningkatkannya pada tahap lebih ideal iaitu perpaduan nasional sebenar yang mempunyai semangat kekitaan, komuniti yang hormat-menghormati dan kebersamaan dalam masyarakat.

“Semua ini dapat dicapai jika tindakan kita sentiasa bersandarkan kepada Perlembagaan Persekutuan kerana ia intipati utama negara, dan seperti diketahui Perkara 3 Perlembagaan jelas memperuntukkan Islam ialah agama Persekutuan, tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

“Prinsip asas lain mematuhi undang-undang, serta menjadikan Rukun Negara sebagai falsafah negara. Selain itu, kita perlu mengenal pasti nilai teras yang boleh diterima semua pihak termasuk saling menghormati, bekerja secara bersama, semangat memberi dan menerima serta cuba mencari penyelesaian bagi masalah yang timbul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) sesi 2016/17 di Bangunan Perdana Putra, di sini, semalam.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Penasihat Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Datuk Heng Seai Kie dan Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) L Gandesan.

Pada majlis itu, 32 ahli jawatankuasa menerima watikah pelantikan daripada Perdana Menteri berkuat kuasa 1 Januari lalu hingga 31 Disember 2017 yang membabitkan pemimpin masyarakat, ahli akademik, individu berkebolehan tinggi berwibawa dan berpengalaman, wakil agama, badan bukan kerajaan (NGO), wakil belia dan pensyarah.

JKMPKA ditubuhkan Jemaah Menteri pada 2010 sebagai usaha kerajaan mempromosi keharmonian dan kesefahaman antara rakyat pelbagai agama.

Najib berkata, usaha untuk memperkukuhkan persefahaman dan keharmonian antara rakyat di negara ini perlu dilakukan secara berterusan melalui pelan yang terancang, diinstitusikan dan usaha yang bersepadu serta diselaraskan.

Sehubungan itu, beliau berkata, JKMPKA satu mekanisma untuk merealisasikan hasrat itu, selain mencari jalan penyelesaian jika berlaku konflik antara penganut agama secara adil.

Menurutnya, walaupun hidup dalam masyarakat yang kompleks, tetapi rakyat mampu hidup dalam keadaan aman dan damai jika mempunyai sikap positif.

“Sebagai negara berbilang kaum yang menganut pelbagai kepercayaan, kita perlu mempunyai satu mekanisme meningkatkan kefahaman dan apresiasi antara pelbagai golongan dalam negara,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");