Isu Panas

Azalina: Jangan terjerat mainan Rafizi

SHAH ALAM – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said hari ini menasihatkan petugas media agar tidak mudah terjerat dengan permainan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan pemimpin kanan PKR itu yang lantang menentang Peguam Negara,Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan pindaan undang-undang untuk petugas media dalam Akta Rahsia Rasmi 1972.

“Beliau juga dengan sengaja menyatakan bahawa pindaan ini adalah penindasan kepada wartawan dan kebebasan media supaya beliau mendapat sokongan daripada pihak media berhubung dengan perkara ini.

“Saya berharap pihak media tidak terjerat dengan permainan beliau yang sering kali menggunakan media khususnya media alternatif sebagai kuda tunggangan untuk mencari publisiti murahan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Azalina dalam pada itu turut menyifatkan tindakan Rafizi sebagai tindakan yang didorong oleh rasa takut dan terdesak.

“Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli tidak mempunyai sebarang imuniti atau keistimewaan dalam konteks undang-undang.

“Apatah lagi kes yang melibatkan beliau dibawah Akta bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia), sehingga kini masih belum selesai. Kes Bafia yang melibatkan Rafizi telah berlarutan hampir empat tahun sepatutnya kes itu perlu diputuskan segera kerana perlu menjadi penanda aras kepada sektor kewangan negara.

“Isu ini bukan hanya melibatkan kepentingan individu tetapi boleh mengugat ekonomi dan keselamatan negara. Sekiranya kes tersebut masih ditangguh pihak luar akan beranggapan undang-undang melibatkan perbankan negara adalah longgar,” ujarnya lagi.

Kelmarin, Mohamed Apandi dilaporkan sedang mempertimbang untuk meminda undang-undang bagi meningkatkan hukuman ke atas mereka yang membocorkan rahsia negara dan wartawan yang melaporkannya.

Katanya, Pejabat Peguam Negara sedang mengkaji untuk meminda Akta Rahsia Rasmi 1972 bagi memasukkan hukuman penjara seumur hidup dan 10 sebatan rotan.

Menurut Azalina, daripada melancarkan kempen menentang pindaan tersebut di media sosial, Rafizi sebaliknya boleh menggunakan Dewan Rakyat sebagai saluran untuk membahaskan pindaan tersebut.

“Beliau sering kali dilihat mencari publisiti politik dengan membuat pelbagai pendedahan yang mengelirukan rakyat itu juga harus di siasat mengenai punca dah kesahihan maklumat-maklumat yang diperolehinya.

“Ketika perbahasan di Parlimen, beliau juga menyatakan bahawa beliau mendapat maklumat yang bocor berhubung pembelian aset kerajaan. Keadaan ini jelas bahawa beliau sendiri telah mengakui secara tidak langsung dan adalah wajar untuk disiasat dan diambil tindakan dengan kadar segera,” katanya lagi.

Kata Azalina lagi, rakyat perlu melihat isu ini secara matang dan tidak mudah terjerat dengan agenda pembangkang.

“Sejak kebelakangan ini terlalu banyak kebocoran maklumat berlaku sehinggakan mengancam keselamatan negara.

“Pendedahan kepada umum bukan satu tindakan yang baik sebaliknya mereka yang mempunyai maklumat perlu membawa isu tersebut kepada pihak berwajib untuk tindakan lanjut.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");