Panasnya Hari Ini

Azmin Didakwa Pilih Kasih?

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali didakwa mengamalkan sikap pilih kasih dan lebih mengutamakan kroni dalam pemilihan ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Dakwaan itu dibuat oleh sekumpulan pimpinan cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang bergabung dengan ahli PKR yang lantang bersuara, Badrul Hisham Shaharim.

Selain itu, kumpulan tersebut juga mendakwa, Azmin turut membelakangkan cadangan ahli majlis daripada cabang tertentu di Selangor dan garis panduan oleh Pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang dikeluarkan pada 2013.

Setiausaha PKR cabang Kelana Jaya, Murali Subramaniam berkata, dalam Fasal 4 Pekeliling tersebut ada menyatakan bahawa ahli majlis mestilah bermastautin di kawasan yang mereka berkhidmat sekurang-kurangnya lima tahun.

Selain itu, garis panduan PKR juga turut menyatakan cabang sepatutnya memberikan calon mereka kepada pimpinan negeri sebelum ianya disahkan oleh pimpinan pusat, namun perkara tersebut tidak berlaku.

“Apa yang berlaku di Selangor, tak ikut apa yang diputuskan dalam mesyuarat cabang. Selepas mesyuarat, kami beri cadangan kepada Menteri Besar, malangnya beliau tidak ambil nama yang kami berikan.

“Mereka letak nama sendiri untuk kami luluskan, ketua cabang kami bantah dan tak nak luluskan, nama lain dilantik,”ujarnya, memetik laporan Free Malaysia Today.

Sementara itu, Badrul Hisham pula berkata, Azmin tidak menghormati PKR dan cabang parti itu walaupun Perlembagaan parti menyatakan cabang mempunyai hak untuk bersuara bagi memilih calon termasuk calon pilihanraya.

Justeru itu, beliau menggesa agar pimpinan tertinggi PKR untuk memberikan perhatian terhadap apa yang berlaku dibawah pimpinan Azmin.

“Salah satu kritikan terhadap pentadbiran Tan Sri Khalid (Ibrahim) ialah beliau tidak membantu parti.

“Sekarang macam mana kita nak berkhidmat untuk masyarakat kalau ahli majlis tak duduk di sana, tidak ada hubungan dengan cabang?

“Ini lebih teruk dari UMNO. Azmin tak menghormati parti sendiri. Ini sebabnya UMNO suka dia dan semua kritikan tidak diambil pimpinan UMNO untuk serang Azmin,” tegasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");