Isu Panas

Bantu Ahmad Bashah perkukuh jentera parti

ALOR SETAR – Ketua Penerangan Umno Kedah, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid meminta semua anggota parti supaya merapatkan semula barisan dan memberi sokongan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang dilantik sebagai Pengerusi Umno negeri yang baharu.

Beliau berkata, sokongan mereka amat penting bagi memantapkan jentera Umno sebagai persediaan untuk mengekalkan BN memegang tampuk pemerintahan kerajaan negeri Kedah pada PRU14.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Ahmad Bashah kerana telah dilantik sebagai Pengerusi Umno Kedah menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, hari ini. Dengan perlantikan ini, diharapkan beliau (Ahmad Bashah) dapat menggerakkan jentera Umno dengan baik dan tersusun.

“Kita akan memperbanyakkan aktiviti sebagai persediaan menghadapi PRU14 dan saya berharap semua ahli Umno dapat kembali bersatu untuk memperkukuhkan Umno,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohd Rawi berkata, kemelut yang melanda Kedah baru-baru ini memang memberi kesan namun impaknya sangat kecil dan dia yakin semua anggota Umno yang sayangkan parti akan mengambil langkah dengan ‘buang yang keruh, ambil yang jernih’ demi kelangsungan parti.

Pelantikan Ahmad Bashah diumumkan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan itu, Tengku Adnan turut mengumumkan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, juga berkuat kuasa hari ini.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");