Isu Panas

Berbaloikah perdebatan antara Zamihan-Asri

SHAH ALAM – Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, mempersoalkan sama ada berbaloi atau tidak pendebatan dua tokoh agamawan itu.

Menurutnya, pendebatan seharusnya membincangkan perkara yang lebih besar seperti isu rasuah dan penyelewengan dalam kalangan pemimpin Islam di negara ini.

“Pendebatan seharusnya membawa sesuatu produktif kepada suasana menyeluruh umat Islam dari sosial, ekonomi dan politik.

“Bukankah lebih utama didebatkan kebejatan kepimpinan negara dari kalangan umat Islam yang terlibat rasuah, penyelewengan berbilion ringgit dan tadbir urus kewangan yang culas dan curang?,” soalnya dalam kenyataan.

Soalnya, adakah melalui pendebatan itu, akan ada jawapan kepada perdebatan ilmu teologi yang sejak zaman ulama silam tidak menemukan penyelesaian?

“Ia bukan mencari jawapan hitam putih kepada masalah yang timbul tetapi melihat ia perbezaan pandangan dalam lingkungan disiplin ilmu yang tidak boleh dilabelkan sebagai sesat atau menyeleweng.

“Jadi apa gunanya berdebat pada isu yang lumrahnya pasti akan terdedah kepada pelbagai perspektif dan penilaian sedangkan sejak dari mula ia diizinkan syariat kita,” katanya.

Mujahid juga bimbang, ada pihak yang menghantar mesej silap apabila berusaha untuk memaksa hanya satu pandangan sahaja ke atas umat sehingga membawa kejumudan dan pembekuan perkembangan intelektual.

“Akhirnya tujuan debat untuk menang dalam perkara yang pada asalnya bukan keluar dari persoalan garis akidah tidak akan membawa ke mana-mana,” katanya.

Tegasnya, menggunakan istilah Ahli Sunnah Wal Jamaah untuk berlindung atas kebenaran adalah sesuatu yang dikesali.

Istilah itu katanya pengkategorian utama perincian permasalahan bagi membezakan pegangan Syiah dan lain-lain dengan fahaman asal ajaran Nabi Muhammad iaitu Sunnah.

“Khususnya bab Imamah dan kemudian berkembang kepada permasalahan akidah dan fiqah. Ia bukan pengkategorian digunakan antara pandangan berbeza sesama Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");