Sukan Hari Ini

‘Beri peluang’

Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menerima keputusan Jawatankuasa Bertindak Khas melantik Datuk Ong Kim Swee (gambar) sebagai pengendali baru Harimau Malaysia meskipun beliau berharap jurulatih asing akan menggantikan Dollah Salleh.

Menurutnya, peluang sama harus diberikan kepada Kim Swee untuk membuktikan kemampuannya membawa skuad kebangsaan ke tahap lebih tinggi.

“Ini pilihan jawatankuasa berkenaan. Secara ikhlas saya memang berharap satu pilihan yang lain. Tapi memandangkan ini pilihan jawatankuasa berkenaan, saya terpaksa menghormati keputusan itu.

“Kita perlu beri peluang, harap Datuk Ong Kim Swee dapat tangkis segala tanggapan itu. Saya harap beliau dapat menjana pasukan ke peringkat lebih baik,” katanya pada Majlis Pengenalan Penaja Pasukan Bolasepak Kebangsaan 2016 semalam.

Pada majlis itu, FAM menerima penajaan Telekom Malaysia (TM), Bank Islam, Nike dan 100PLUS.

Kim Swee diberikan kontrak dua tahun sebagai jurulatih Harimau Malaysia selepas berjaya memikat panel pemilih Jawatankuasa Bertindak Khas dalam sesi temu duga terakhir bulan lalu yang turut membabitkan dua lagi calon Bojan Hodak dan Robert Alberts.

Ia bukan tugas mudah buat bekas jurulatih Harimau Muda A itu yang diberikan tiga Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) untuk dipenuhi iaitu memperbaiki ranking dunia Malaysia dari 171 ke 140, melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2019 dan menjuarai Piala AFF 2016.

“Saya berharap Kim Swee dapat membuat sesuatu untuk membangkitkan semula kedudukan ranking kita. Kita lihat dulu prestasi Piala AFF yang terdekat ini kerana itu penanda aras.

“Saya anggap KPI itu agak munasabah, kalau mereka dapat bermain sampai ke final, itu sudah dianggap kemajuan kerana memang kalau boleh kita hendak menang semua pertandingan tapi kena lihat satu persatu,” kata Tengku Abdullah.

Beliau dalam majlis sama turut mengumumkan penggunaan nama gelaran skuad kebangsaan kepada Harimau Malaysia bagi menggantikan Harimau Malaya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");