Membawang Hari Ini

Black sanggup keluar bajet

“Walaupun terpaksa keluarkan wang sendiri untuk perbelanjaan persembahan, saya sanggup!” kata Black mengenai perbelanjaan untuk persembahan protegenya, Qody dan Wanie dalam Mentor Milenia sudah melebihi bajet yang ditetapkan pihak TV3.

Black berkata, dia sanggup berbuat demikian bagi menampilkan kelainan selain membantu industri muzik.

Pada konsert Mentor Milenia baru-baru ini, Qody sekali lagi dinobatkan sebagai juara mingguan selepas mempersembahkan lagu Suatu Masa, dendangan asal Datuk M Nasir.

Bagi Black, bergelar juara mingguan selama dua minggu berturut-turut sedikit sebanyak memberikan keyakinan kepada protegenya untuk melakukan lebih baik pada minggu seterusnya.

“Memang sukar untuk mempertahankan gelaran juara mingguan. Saya dapat lihat prestasi Qody meningkat dari kosong dan kini dia menggunakan peluang yang diberikan dengan sebaik mungkin.

“Qody juga protege yang mudah diajar dan mendengar kata. Contohnya apabila saya sering berpesan kepadanya supaya tidak merokok, dia akur dan berhenti merokok,” katanya.

Menurut Black, dia berpuas hati dengan persembahan Qody yang diiringi kumpulan Paladin yang bermain alat muzik cello.

“Apabila menggabungkan vokal Qody dan alunan cello daripada Paladin, kedua-duanya nampak serasi dan seimbang.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pasukan saya yang terdiri daripada isteri, penyusun muzik, guru vokal dan pihak pengurusan yang bertungkus-lumus membantu menjayakan setiap persembahan kedua-dua protege saya,” katanya.

Qody mula rasai tekanan

Pada peringkat awal, Qody kurang yakin untuk membawakan lagu Suatu Masa.

Bagi pemilik nama sebenar Rossaidi Abdul Rani ini, lagu itu sangat berat dan dia tidak yakin mampu menjiwainya dengan baik.

Namun, Black selaku mentor banyak membantunya dari segi per­sembahan dan cara meraih keyakinan.

“Ini kali pertama saya sampaikan lagu itu dan mengambilnya sebagai cabaran,” katanya.

Protege berusia 21 tahun ini juga mengakui, dia sedikit tertekan apabila dua kali berturut-turut dinobatkan sebagai juara mingguan.

“Bukan tertekan kerana apa, tetapi kini tanggungjawab saya menjadi lebih besar kerana perlu memberikan persembahan yang lebih baik pada minggu seterusnya.

“Banyak lagi yang perlu saya belajar untuk meningkatkan kualiti saya dari segi vokal, persembahan dan cara berinteraksi dengan penonton dan kamera,” katanya.

Pada konsert yang sama, dua protege iaitu Han (protege Akim) dan Nuri (protege Azlan) tersingkir selepas kedua-duanya mencatat mata terendah.

Mentor Milenia disiarkan secara langsung pada setiap Ahad, jam 9 malam di TV3.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");