Sukan Hari Ini

Detektif Conan sumber inspirasi

Semasa zaman kanak-kanak dulu, Nur Ayuni Farhana Abdul Halim adalah peminat tegar siri animasi Detective Conan. Setiap kali siri itu ditayangkan, dia pasti melekat di depan kaca televisyen.

Kemampuan Conan menyelesaikan kes jenayah terutama pembunuhan, benar-benar menarik perhatian Nur Ayuni. Dia begitu kagum dengan kepintaran detektif cilik itu membongkar setiap misteri pembunuhan hingga pembunuhnya berjaya ditangkap.

Ternyata pengaruh Conan terhadap Nur Ayuni terlalu besar hingga dia menyimpan cita-cita menjadi detektif seperti hero pujaannya itu, yang mampu menyelesaikan semua masalah jenayah.

“Siri Detective Conan banyak mempengaruhi minda saya ketika itu. Kekaguman saya terhadapnya memberi inspirasi hingga saya bercita-cita untuk menjadi seorang detektif.

“Saya sering berangan-angan alangkah seronoknya bekerja sebagai detektif seperti Conan yang mampu menyelesaikan pelbagai kes jenayah. Bagi saya, tugas seperti ini amat mencabar, sesuatu yang sesuai dengan jiwa saya,” kata Nur Ayuni.

Selain siri Detective Conan, Nur Ayuni juga gemar menonton filem dan drama bercorak penyiasatan. Kebetulan ayahnya, Abdul Halim Abdul Rahim, juga penggemar filem kepolisan dan aksi, jadi dua anak-beranak itu sering menonton bersama.

Sambil menonton, Nur Ayuni sering menggambarkan dirinya sebagai polis wanita yang tangkas serta handal bermain senjata api seperti yang dilakonkan oleh watak dalam filem atau drama itu.

“Setiap kali selepas menonton filem atau drama aksi, saya sering berangan-angan, kalaulah menjadi detektif kelak, saya mahu melakukan aksi lasak serta berani seperti dalam cerita itu.

“Malah, saya bercita-cita menjadi ‘sharp shooter’ (penembak tepat) yang mampu menewaskan penjenayah dengan tembakan tepat saya,” ujar Nur Ayuni.

Hari ini, seperti ditakdirkan, Nur Ayuni, 26, benar-benar menjadi seorang penembak tepat. Walaupun bukan sebagai seorang detektif seperti yang dicita-citakannya namun bidikannya mengalahkan ramai ‘musuh’.

Memulakan kariernya dalam sukan menembak pada 2006 sebagai ahli Kelab Menembak Pahang, Nur Ayuni mula mengorak langkah dengan pelbagai kejayaan antarabangsa sejak menyertai skuad kebangsaan pada 2008.

Antara kejayaan terbesar Nur Ayuni setakat ini memenangi pingat emas acara 10 meter rifle Sukan Komanwel New Delhi 2010 bergandingan dengan Nur Suryani Mohamed Taibi. Di samping itu, gandingannya bersama Nur Suryani dan Muslifah Zulkifli meraih pingat gangsa acara 50m rifle di Sukan Asia Incheon 2014.

Nur Ayuni juga menamatkan penantian selama lapan tahun skuad negara dengan meraih emas acara 50m rifle 3 posisi pada Sukan SEA Singapura tahun lalu. Ia pencapaian terbaiknya pada temasya dwitahunan itu selepas hanya memenangi perak berpasukan pada 2009 dan gangsa invividu 3P pada 2011.

Mendedahkan bagaimana dia boleh terbabit dengan sukan menembak, Nur Ayuni tidak menafikan keinginannya yang kuat untuk bergelar detektif mendorong dirinya berjinak-jinak dengan sukan berkenaan.

“Memang ketika bersekolah dulu, saya lebih aktif dalam olahraga terutama lompat jauh dan lompat tinggi. Walaupun sekadar peringkat sekolah saja namun jika saya lebih bersungguh-sungguh, mungkin saya lebih berjaya dalam acara itu.

“Namun, ketika usia memasuki belasan tahun, minat saya mula beralih kepada menembak. Ini disebabkan saya terpengaruh dengan filem atau drama aksi. Adegan tembak menembak yang saya tonton menyebabkan saya ingin merasa bagaimana memegang senjata api dan menembak.

“Jadi, apabila Kelab Menembak Pahang mengadakan pertandingan untuk mencari bakat baru bagi mewakili negeri itu pada 2006, saya mencuba. Pertama kali memegang senjata api, saya agak gementar, sampai berpeluh saya dibuatnya. Tapi ternyata saya berjaya mengatasi ujian itu dan terpilih menyertai skuad Pahang.”

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");