Sukan Hari Ini

Gilap bakat akuatik

Kuantan: Unit Sukan Jabatan Pelajaran Pahang (JPP) mengadakan program pembangunan sukan akuatik di peringkat daerah dan negeri dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet berkualiti untuk bersaing di pentas kebangsaan.

Ketua Unit Sukan JPP Jalaluddin Ismail berkata, program melahirkan atlet berkualiti dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) itu membabitkan semua peringkat usia iaitu bawah 12, 15 dan 18 tahun lelaki serta perempuan.

Menurutnya, sukan akuatik membabitkan acara renang dan terjun itu memerlukan bimbingan daripada jurulatih berkemahiran disamping mendapat sokongan kuat keluarga atlet itu sendiri.

Katanya, selepas beberapa tahun program pembangunan dilaksanakan, perkembangan membanggakan dapat dilihat apabila lebih 20 atlet renang berjaya dilahirkan walaupun masing-masing masih bertaraf negeri.

“Faktor kemudahan kolam renang menjadi penghalang utama kepada usaha melahirkan lebih ramai atlet akuatik di negeri ini. Kemudahan berkenaan hanya ada di Kuantan, Temerloh, Bera dan Jerantut saja.

“Di peringkat Majlis Sukan Sekolah Pahang (MSSP), Temerloh menjadi daerah terkuat dalam sukan renang dan mereka muncul juara 10 tahun berturut-turut tanpa sebarang cabaran pada MSSP 2016 baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata, dalam acara terjun yang baru diperkenalkan, saingan lebih tertumpu kepada atlet daerah Kuantan di mana terdapat lebih 40 atlet bawah 12, 15 dan 18 tahun terbabit dalam acara berkenaan.

Jalaluddin berkata, setakat ini terdapat seramai tujuh jurulatih terdiri daripada guru diberi tanggungjawab melatih atlet setiap minggu di Kompleks Akuatik Wisma Belia Indera Mahkota, di sini.

Menurutnya, penyertaan beberapa pelajar Orang Asli menambahkan lagi kemeriahan program pembangunan sukan terjun yang diharap suatu hari nanti mencetuskan kejayaan kepada kontinjen MSSP di pentas kebangsaan.

“Saya berharap program pembangunan sukan akuatik berakhir dengan kejayaan membanggakan, sama dengan beberapa sukan lain yang berjaya melakar pencapaian terbaik di peringkat MSSM,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");