Membawang Hari Ini

Haiza dilamar stesen radio baharu

KUALA LUMPUR: Selepas menamatkan kontrak bersama Best FM, akhir bulan lalu, Haiza mengakui menerima beberapa tawaran daripada stesen radio terkemuka yang ingin mendapatkan khidmatnya sebagai penyampai tetapi masih belum memberi kata putus.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Dag Dig itu berkata, tawaran yang diberikan sukar untuk dilepaskan memandangkan dirinya sudah mula jatuh dalam bidang itu.

“Memang benar saya menerima tawaran daripada beberapa stesen radio, termasuk stesen penyiaran swasta. Saya sedang mempertimbangkan tawaran yang datang dan belum memberi kata putus.

“Secara peribadi, saya masih berminat untuk meneruskan kerjaya sebagai penyampai radio kerana sudah jatuh cinta dengan kerjaya itu. Tidak mustahil saya akan kembali ke konti radio apabila menemui pilihan yang terbaik,” katanya.

Haiza sebelum ini pernah bertugas sebagai penyampai di KLFM dan sebelum menyertai Best FM, tahun lalu. Selepas setahun bertugas di stesen radio yang berpusat di Johor Bahru, Johor itu, Haiza mengambil keputusan berundur untuk memberi fokus kepada keluarga dan kerjaya seninya.

“Saya memang suka bercakap dan kerjaya sebagai penyampai radio semakin sebati dalam diri. Apabila ada stesen radio lain yang berminat memberikan tawaran, sukar untuk saya lepaskan.

“Meskipun semakin mendapat kepercayaan, saya tetap mengutamakan bidang nyanyian. Alhamdulillah, kerjaya nyanyian saya semakin berkembang selepas menyertai Gegar Vaganza 2,” katanya.

Haiza berkata, dirinya juga akan kembali ke studio rakaman dalam masa terdekat ini untuk merakamkan single baharu, Tentang Cinta, ciptaan sepenuhnya penyanyi dan komposer, Asfan.

Kata Haiza, single baharunya itu jauh menyimpang daripada genre nyanyian dangdut yang sinonim dengannya, sebaliknya Tentang Cinta cenderung kepada muzik rock dan balada.

“Asfan ada memberitahu, dia menulis lagu untuk saya. Selepas mendengarnya, saya tertarik dan bersedia merakamkan lagu itu kerana ia memberi warna baharu kepada muzik saya.

“Ia serasi dengan jiwa kerana ketika bertanding di pentas Gegar Vaganza 2 dulu, saya kerap membawakan lagu berentak rock dan balada. Single ini adalah hadiah istimewa saya kepada peminat yang menyokong selama ini,” katanya.

Haiza berkata, biarpun projek itu baru bermula tetapi ia sudah mendapat perhatian beberapa stesen televisyen yang berminat menjadikan Tentang Cinta sebagai runut bunyi drama yang bakal ditayangkan.

“Alhamdulillah, apabila membuat keputusan untuk kembali Kuala Lumpur, rezeki saya semakin bertambah. Saya juga selesa kerana pada masa sama, dapat memberikan fokus kepada keluarga berbanding dulu,” katanya.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");