Membawang Hari Ini

Hanya 10 hari berlatih

Selepas kejayaan pementasan teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck tahun lalu, penerbitnya, Siti Rohayah Attan menerusi syarikat CTRA Production kembali dengan naskhah baru berjudul Zombie La La La.

Berbeza dengan kebanyakan karya sebelumnya, teater bergenre komedi itu satu cabaran baru buat Siti Rohayah atau mesra dipanggil Kak Roy sepanjang 20 tahun pembabitannya dalam bidang ini.

Justeru, Siti Rohayah mengharapkan teater ini dapat menjadi satu lagi penanda aras untuknya meskipun pengarah dan pelakon mengambil masa 10 hari untuk berlatih.

“Belum pernah produksi saya menjalani latihan selama 10 hari. Memandangkan semua pelakon ada komitmen lain jadi saya hanya dapat mengumpul mereka pada 1 Februari lalu,” katanya.

Disebabkan itu, ketika sesi pratonton bersama media kelmarin, banyak kelemahan dapat dilihat terutama aspek lakonan.

Menjawab perkara itu, pengarah A Aris Kadir mengakui kekangan masa antara faktor utama.

“Sama seperti Kak Roy, ini kali pertama saya hanya diberi masa 10 hari untuk melakukan persediaan. Biasanya saya mengambil masa sebulan atau dua bulan. Namun, saya memahami jadual dan komitmen setiap pelakon.

“Tidak dinafikan ketika itu ada banyak kelemahan terutama lakonan.

“Sebagai pengarah, saya akan berusaha memberikan yang terbaik. Saya akan pastikan pementasan yang bermula pada malam esok (malam ini) tidak seperti sesi pratonton semalam (kelmarin),” katanya.

Jelas Aris, persembahan kelmarin mungkin nampak hambar dan membosankan kerana pelakon belum memahami sepenuhnya watak mereka.

“Dalam teater ini setiap pelakon melakonkan watak popular seperti Neng Nak, Hang Li Poh, Cleopatra, Capten Hook, Elvis Presley dan banyak lagi. Namun, ia diubah untuk disesuaikan dengan karakter zombi.

“Jadi mereka perlu memahami watak diberikan agar tampak lebih menarik. Saya ibaratkan semua watak seperti lukisan. Jadi pelakon kena mewarnai watak itu,” katanya.

Teater terbitan bersama Rumah Karya Citra Sdn Bhd, Istana Budaya, Persatuan Teater Malaysia (PTM) dan Persatuan Generasi Seni Malaysia (GenSem) ini mula dipentaskan malam ini sehing­ga 21 Februari depan.

Zombie La La La membariskan pelakon popular tanah air seperti Zulin Aziz (Miss K), Amy Mastura (Happy­witch), Siti Saleha (Cleopapa), Amar Baharin (Kapten Cook), Janna Nick (Memang Nak), Hafreez Adam (Elvipasola), Rosnan Rahman (Patihkurnia), Lim Mei Fen (Lilipoh) dan Syed Atiq Wan Long (Jinaprit).

Sementara itu, pelakon dan pengacara Zulin Aziz yang melakonkan watak Miss K selaku presiden zombi mengakui sukar memahami watak berkenaan.

“Pada mulanya dialog diberikan dalam bahasa buku. Diakui memang susah kerana sebelum ini sudah terbiasa menggunakan bahasa santai. Sehinggakan selepas habis baca skrip, saya masih tidak faham watak Miss K.

“Apabila menjalani latihan, baru saya faham. Pada masa sama, saya minta izin penulis skrip iaitu Kak Roy sendiri untuk tukar dialog kepada bahasa lebih mudah difahami,” katanya.

Bagi mewarnai lagi watak Miss K, Zulin terpaksa membuat penambahbaikan dari segi lakonan dan lontaran dialog.

Teater ini mengisahkan sekumpulan zombie diketuai Miss K bersama ahli lain dari China, Amerika Syarikat, Indonesia, Mexico, Thailand dan Mesir belayar menaiki kapal ke Kuala Lumpur.

Tujuan mereka adalah untuk mendapatkan formula bagi mengembalikan kecantikan dan ketampanan mereka.

Sepanjang berada di Kuala Lumpur, pelbagai insiden lucu berlaku. Sehinggalah mereka terjumpa individu yang tahu di mana formula itu.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");